Wednesday, January 8, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dadah bernilai lebih S$1 juta dirampas, empat ditahan

    SINGAPURA, 6 JAN – Biro Narkotik Pusat Singapura (CNB) merampas dadah yang dianggarkan bernilai lebih S$1 juta (S$1=RM3.27) pada Sabtu, cukup untuk memenuhi keperluan kira-kira 4,590 penagih dadah untuk tempoh seminggu.

    CNB dalam kenyataan berkata empat suspek warga Singapura – tiga lelaki dan seorang wanita – ditangkap berhubung rampasan dadah itu termasuk heroin, ais, ketamin, ekstasi dan ganja.

    Dua daripada suspek, lelaki berusia 25 dan 27 tahun, ditangkap oleh pegawai CNB di tempat letak kereta di sekitar Cassia Crescent.

    Suspek ketiga, seorang lelaki berusia 25 tahun, ditahan selepas cuba melarikan diri dari tempat kejadian setelah menyaksikan penangkapan kedua-dua lelaki itu. Sebuah senjata juga dirampas.

    Sementara itu, seorang wanita berusia 25 tahun, yang disyaki penagih dadah, ditahan dalam serbuan di tempat persembunyian suspek lelaki berusia 27 tahun itu, di sebuah unit kediaman di kawasan sama.

    Pengarah Bahagian Perisikan CNB, Timbalan Penolong Pesuruhjaya Aaron Tang, berkata biro itu akan terus memburu pengedar dadah dan membawa mereka ke muka pengadilan.

    “Pengedar dadah tidak mempedulikan nyawa ribuan individu yang musnah sekiranya dadah itu sampai ke jalanan,” katanya.

    Di bawah undang-undang Singapura, seseorang yang didapati bersalah mengedar lebih 15g diamorphine atau ‘heroin tulen’ atau lebih 250g methamphetamine, atau lebih 500g ganja, boleh dikenakan hukuman mati mandatori. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda