Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dadah bernilai RM5.43 juta dilupus

    JOHOR BAHRU, 27 NOV – Polis Johor akan melupuskan sebanyak 322.13 kilogram (kg) dan 1,562.6 liter dadah bernilai RM5.43 juta, yang dirampas dari tahun 2000 sehingga tahun lepas.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata proses pelupusan itu akan dilakukan hari ini di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, Malaysia.

    Beliau berkata antara dadah yang dilupuskan ialah heroin sebanyak 19.42kg, kanabis (28.38kg), ketamin (15.04kg) dan daun ketum (236.43kg).

    “Menerusi pelupusan ini, sejumlah 3,214 kes telah diselesaikan bagi tempoh antara tahun 2000 sehingga 2022,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Bahru, hari ini.

    Sementara itu Kamarul Zaman berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah merampas sebanyak 4.65 tan dadah bernilai RM33.77 juta dan sitaan harta RM13.15 juta sejak Januari tahun ini sehingga 20 November lepas.

    Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga, 15,167 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

     Kamarul Zaman berkata JSJN Johor sentiasa komited dan agresif melaksanakan operasi secara berterusan bagi membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, sekali gus membawa kepada pelbagai kejayaan tangkapan dan rampasan sindiket dadah.

    Justeru beliau berharap masyarakat dapat terus bekerjasama dalam memainkan peranan menyalurkan maklumat kepada pihak polis. – Bernama

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (dua, kanan) melihat barang kes dadah yang akan dilupuskan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda