Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dadah burukkan masalah selatan Thai

    BANGKOK, 21 Jun – Kira-kira 7,000 orang maut dalam konflik bersenjata di selatan Thailand sejak 2004, tetapi wilayah-wilayah yang berkongsi sempadan yang panjang dengan utara Malaysia turut berdepan dengan masalah dadah yang teruk.

    Keganasan berkaitan dengan dadah telah meragut banyak nyawa di wilayah-wilayah di selatan tetapi masalah narkotik yang semakin teruk kekal menjadi antara masalah yang berakar umbi dalam konflik bersenjata di kawasan di selatan.

    Satu daripada insiden berkaitan dadah di daerah Bannang Setar di Yala pada minggu lepas, bagaimanapun telah mendapat perhatian media berikutan ia amat mengerikan yang menyaksikan lima lelaki berumur antara 25 dan 39 tahun telah ditembak mati ala Mafia.

    Dalam kejadian pada 1 pagi itu, kesemua mangsa yang mungkin keletihan selepas seharian berpuasa, sedang berehat apabila kumpulan penyerang tidak dikenali yang datang dengan menunggang motosikal menyerbu masuk ke rumah itu, menikam mereka di mulut dan belakang sebelum menembak mati mereka dengan raifal M16 dan senapang patah.

    “Kami masih menyiasat insiden ini,” demikian respons segera Mej Jen Daoloi Meundech semasa ditanya oleh Bernama baru-baru ini tentang pembunuhan kejam itu yang telah mengejutkan masyarakat Islam yang amat akrab itu hanya beberapa hari sebelum mereka menyambut Aidilfitri.

    Timbalan Ketua Polis Kawasan 9 itu enggan mendedahkan motif disebalik pembunuhan kejam itu walaupun penyiasat termasuk timbalan jurucakap bagi polis negara, menyalahkan perniagaan dadah yang semakin berleluasa sebagai punca konflik dan pembunuhan ngeri itu.

    Penyiasat mendakwa dua lelaki yang mati itu ialah pengedar utama Kratom (Ketum) dan Methamphetamine, menyatakan pihak berkuasa mengesyaki empat penyerang terbabit dalam pembunuhan kejam itu. Seorang daripada suspek dilaporkan ditahan beberapa hari lepas tetapi menafikan terlibat dalam jenayah itu.

    Kawasan terletak di bawah bidang kuasa Polis Kawasan 9 termasuk wilayah paling selatan di Thailand iaitu Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla yang sering berlaku kejadian serangan bom dan pembunuhan yang dikaitkan dengan konflik bersenjata di selatan Thailand.

    Pengedar dadah tempatan beroperasi di wilayah-wilayah selatan, menurut Daoloi, kebiasaannya mereka yang ada hubungan baik dan mendapat sokongan sindiket-sindiket amat berkuasa untuk menjalankan kerja mereka itu.

    “Mereka biasanya disokong sindiket-sindiket dadah berkuasa dalam menjalankan operasi mereka di selatan,” katanya dan menurutnya dalam penyiasatan mereka, mereka telah berjaya mengenal pasti dalang sindiket serta cara mereka menyeludup dadah.

    Pengedar dadah tempatan, katanya kebiasaannya memilih cara berkongsi keuntungan dengan penyokong mereka yang berkuasa semasa menjalankan kerja menyeludup dadah, memilih 20 peratus keuntungan daripada penghantaran dadah sebagai bayaran mereka manakala bakinya milik sindiket. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda