Dadah dianggarkan bernilai RM48 juta dilupuskan

KUALA LANGAT, 14 SEPT – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini melupuskan 1,200 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan heroin dianggarkan bernilai RM48 juta yang dirampas pada tahun 2018.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata dadah tersebut dilupuskan mengikut garis panduan ditetapkan dengan cara dibakar menggunakan insinerator di sebuah syarikat yang dilantik di Telok Panglima Garang.

“Dadah yang dirampas itu telah dihantar ke Jabatan Kimia dan kesnya juga telah selesai serta mendapat arahan untuk dilupuskan,” katanya pada sidang media pelupusan barang kes dadah JKDM di sini, hari ini.

Johari berkata pada tahun 2018, sebanyak 109 rampasan pelbagai jenis dadah oleh JKDM direkodkan di seluruh negara yang secara keseluruhannya dianggarkan bernilai RM157.6 juta.

“Pada tahun lepas, pihak kami merekodkan 198 rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM790.6 juta. Untuk tahun ini sehingga Ogos, sebanyak 389 kes dadah dihasilkan dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM109.9 juta.

“Nilai dadah tersebut berbeza berdasarkan harga pasaran dan jenis dadah yang dirampas,” katanya. – Bernama

Datuk Johari Alifiah (tengah) menunjukkan sebahagian dadah jenis Methamphetamine dan Heroin yang akan dilupuskan pada sidang akhbar berkenaan proses pelupusan barang kes dadah oleh Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Teluk Panglima Garang, kelmarin. – Bernama