BAGUIO, FILIPINA, 29 MAC – Polis Filipina berjaya merampas lebih 500 kilogram disyaki methamphetamine yang disembunyikan dalam uncang teh dan menahan seorang suspek pengedar dadah warganegara China di bandar peranginan di bahagian utara, menurut kenyataan pegawai polis hari ini.
Dadah tersebut dirampas di bandar Baguio dan dianggarkan bernilai AS$74 juta pada harga pasaran dan ia merupakan rampasan terbesar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, menurut pegawai.
Sindiket dadah itu menyembunyikan dadah berkenaan di Baguio, sebuah destinasi pelancongan yang terkenal dengan pemandangan gunung dan pokok pain, dan bukan di metropolitan Manila kerana tindakan keras antidadah yang berterusan di wilayah ibu negara, kata Setiausaha Dalam Negeri, Benhur Abalos dan pegawai polis.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, berikrar untuk meneruskan usaha presiden terdahulu untuk mengenakan tindakan keras terhadap aktiviti dadah haram, yang telah mengakibatkan ramai suspek pengedar dadah terbunuh, namun berkata ia akan melakukan cara yang berbeza dan menumpukan kepada rehabilitasi.
Di bawah pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte, lebih 6,000 orang pengedar dadah terbunuh dalam pertempuran dengan pihak berkuasa. Pembunuhan berleluasa itu telah menarik perhatian Barat, termasuk Amerika Syarikat, dan mencetuskan siasatan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana kemungkinan berlakunya jenayah ke atas kemanusiaan.
Duterte menafikan membenarkan pembunuhan luar undang-undang dalam apa yang digelarnya sebagai perang terhadap dadah namun secara terbuka mengancam untuk membunuh suspek pengedar dadah sehingga penggal akhir pentadbirannya.
Polis berkata mereka telah mencatatkan lebih sedikit pembunuhan suspek dadah di bawah pentadbiran Marcos tetapi kumpulan hak asasi manusia masih menyatakan kebimbangan terhadap pembunuhan berterusan di bawah tindakan keras kerajaan dan meminta Marcos untuk bekerjasama dengan ICC dalam menyiasat pembunuhan yang berlaku ketika Duterte menjadi presiden. – AP