Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Akal yang diisi dengan ilmu pengetahuan saja tidak mencukupi tanpa dipandu dengan ketakwaan kerana ketakwaan sahaja yang dapat menghalang manusia daripada menyalahgunakan ilmu yang ada padanya ke jalan yang membawa kebinasaan.
Perkara itu ditekankan oleh khatib dalam Khutbah Jumaat bertajuk Sinar Menuju Kepulihan, hari ini.
Khatib menjelaskan dalam Islam, peranan akal itu sangat penting, kerana itulah Islam mengharamkan segala perkara yang boleh mengganggu atau merosakkan fungsi akal. Ini termasuklah meminum arak dan segala benda yang memabukkan.
Selain meminum arak, tegasnya, menyalahgunakan dadah juga boleh merosakkan akal fikiran bahkan boleh membawa maut. Sesungguhnya setiap yang memabukkan, mengkhayalkan atau menghilangkan akal fikiran itu adalah haram.
Apa yang amat mendukacitakan, terdapat segelintir orang dengan sengaja menyalahgunakan dadah. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana maklumat tentang keburukan dan kemudaratan penyalahgunaan dadah sudah disebarkan atau diwar-warkan oleh pihak berkuasa melalui media massa, ceramah, taklimat, jerayawara dan seumpamanya sebagai langkah pencegahan.

“Ketahuilah, penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan orang yang melakukannya itu lupa diri, lupa agama dan lupa dunia kerana ia memberi kesan buruk kepada akal melemahkan fikiran dan kecerdasan, mengakibatkan penyakit urat saraf serta boleh mengganggu kesihatan mental dan fizikal. Maka jelas menyalahgunakan dadah ini adalah perbuatan sengaja mengheret diri ke dalam kebinasaan,” tegasnya lagi.
Khatib seterusnya menekankan penyalahgunaan dadah adalah musuh nyata kepada negara, masyarakat dan agama. Ia bukan sahaja merosakkan fizikal dan mental, malah menghancurkan maruah, mengheret keluarga ke dalam penderitaan dan memporak-perandakan masyarakat.
“Selain itu, penyalahgunaan dadah juga boleh mengakibatkan meningkatnya perlakuan jenayah dalam masyarakat seperti mencuri, merompak, peras ugut, mencederakan orang lain dan membunuh. Oleh yang demikian, jelaslah ketagihan dadah boleh membawa kepada masalah mental yang mengakibatkan bekas pengguna dadah hilang keseimbangan dan keupayaan untuk berfikir secara normal,” tekan beliau.
Dalam keadaan gejala penyalahgunaan dadah terus berlaku dan memberi kesan buruk kepada masyarakat, kerajaan tetap tidak melepaskan tanggungjawabnya yang mana kerajaan telah menjalankan sejumlah besar peruntukan kewangan bagi menangani gejala penyalahgunaan dadah.
Ini termasuk penyediaan pusat rawatan dan pemulihan bagi membantu memulihkan bekas pengguna dadah. Pelbagai pendekatan pemulihan dan juga program-program disediakan kepada mereka bagi membantu dan menunjukkan kaedah-kaedah kepada mereka untuk menghindarkan diri dari terus bergantung kepada aktiviti menyalahgunakan dadah.
Beliau turut mengingatkan sebagai masyarakat yang prihatin, janganlah biarkan bekas pengguna dadah tanpa sokongan dan bantuan.
Bantu mereka memperbaiki diri dan kembali ke jalan yang diredai Allah SWT.
Sesungguhnya dalam kalangan mereka yang telah insaf, amat menyesali dan mengakui hidup mereka telah hancur setelah terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Oleh itu, mereka berhak diberi pe-luang agar dapat kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna.
Di akhir khutbah, khatib antaranya menasihatkan semua agar bersama-sama melindungi dan memelihara diri, keluarga dan masyarakat daripada dipengaruhi oleh dadah agar kehidupan lebih harmoni dan sejahtera.

