Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram antara punca kepada berlakunya penyakit sosial yang kian menular dan memberi kesan yang boleh merosakkan individu, masyarakat dan juga negara.
Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini bertajuk, Memperkasa masyarakat masa depan tanpa penyalahgunaan dadah seterusnya mengongsikan statistik yang direkodkan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN), di mana tangkapan terhadap individu yang telah berkeluarga menunjukkan peningkatan sejumlah 720 kes pada tiga tahun kebelakangan.
“Ini merupakan masalah serius yang semakin meningkat dalam masyarakat dan beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes ini termasuk faktor sosial, ekonomi, budaya dan juga individu,” tegasnya.
Khatib turut memberi contoh, di mana tekanan sosial yang tinggi, kurang pendidikan, gangguan emosi dan keluarga yang berpecah-belah dapat mempengaruhi sesorang untuk terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Selain itu, tegas beliau lagi, kemudahan akses kepada dadah turut serta menyumbang kepada peningkatan penyalahgunaan dadah dalam masyarakat di mana, dadah dapat diperolehi melalui penyeludupan masuk dari sempadan, penjualan dadah dalam talian dan lain-lain.

Di samping itu, kemerosotan moral dan nilai-nilai sosial dalam masyarakat turut menyumbang kepada peningkatan kesan penyalahgunaan dadah.
Penyelesaian untuk mengurangkan kes ini dalam masyarakat, jelas beliau, adalah melalui pendidikan awal dan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam kalangan ahli keluarga, meningkatkan undang-undang dan penguatkuasaan serta memperbaiki keadaan sosial dan ekonomi masyarakat.
Selain itu, kerjasama antara pihak berkuasa, masyarakat dan badan bukan kerajaan juga adalah sangat penting dalam usaha untuk mengurangkan peningkatan kes tersebut dalam masyarakat.
Dengan usaha yang bersepadu, tegasnya, ia dapat mengatasi masalah peningkatan kes ini dan melindungi generasi masa depan daripada kesan negatif dadah.
Masyarakat cemerlang adalah masyarakat yang mampu menciptakan lingkungan yang aman, sihat dan penuh berkah, kerana masyarakat masa depan yang bebas daripada penyalahgunaan dadah adalah masyarakat yang memiliki ciri-ciri tertentu.
Selain itu, tambahnya, bersikap adil dan kesejahteraan di mana tuntutan Islam juga menyuruh umatnya untuk berperilaku adil, jujur dan bertanggungjawab dalam segala aspek kehidupan.
Di samping itu, etika dan moral iaitu masyarakat akan hidup berdasarkan etika dan moral yang tinggi sesuai dengan ajaran Islam serta mereka akan menjaga kesucian hati dan perilaku serta selalu berusaha untuk berperibadi yang lebih baik.
Beliau seterusnya menjelaskan, memberikan perhatian yang besar terhadap pendidikan dan pengetahuan, mereka akan sentiasa mencari ilmu serta meningkatkan kemampuan untuk berkembang secara intelektual.
Ke arah melahirkan masyarakat masa depan tanpa penyalahgunaan dadah, tambahnya, ia memerlukan usaha yang bersepadu daripada seluruh lapisan masyarakat.
“Dengan bersama-sama mengamalkan nilai-nilai Islam dan memberikan sokongan yang mencukupi kepada individu yang terlibat, akan dapat membentuk masyarakat yang bebas daripada penyalahgunaan dadah serta lebih kukuh dalam mempertahankan nilai murni Islam,” tekannya.
Katanya lagi, “Usaha pembentukan keluarga dan masyarakat yang sejahtera merupakan tanggungjawab setiap individu serta keluarga.
“Sekiranya masing-masing memiliki rasa tanggungjawab dan melaksanakan amanah masing-masing, perkara negatif yang berlaku dikalangan masyarakat seperti penyalahgunaan dadah dan kerosakan moral yang lain dapat dihindari,” tegasnya.