Sebuah detik bersejarah buat peminat muzik tanah seberang apabila kumpulan legenda Indonesia, Dadali, mempersembahkan konsert sulung mereka di negara ini, mencipta malam penuh magis di ibu negara.
Dikenali sebagai King of Sad Song, kumpulan yang ditubuhkan pada 2009 itu memukau lebih 1,600 peminat setia pada konsert ‘Dadali – Sebuah Kisah Volume 1’ di Zepp Kuala Lumpur, menyaksikan penonton turut bersenandung bersama-sama 18 lagu yang dipersembahkan sepanjang konsert hampir dua jam tersebut.
Tirai pentas dibuka pada 8:45 malam dengan tayangan montaj perjalanan seni Dadali, sebelum vokalis Dyrga muncul bersama-sama ahli lain, iaitu Boim (gitar), Rickarjd (gitar melodi), Dendi (keyboard), Hendi (bes), dan Obot (dram), membuka persembahan dengan dua lagu penuh emosi Di Saat Sendiri dan Cinta Jangan Kau Pergi.
“Assalamualaikum semua. Thank you so much semuanya sudah datang walaupun di KL banyak tempat yang mengadakan konsert, tapi luar biasa semua di sini kerana bisa menonton. Berikan tepukan gemuruh untuk kamu semua.
“Sebenarnya saya selalu berulang-alik dari Bogor, Jakarta ke Malaysia. Bukan sekadar cinta, tapi tentang hati, semoga lagu-lagu Dadali pernah mengisi kekosongan hatimu semua,” kata Dyrga disambut sorakan gemuruh memantulkan keterikatan emosi antara peminat dan lagu-lagu mereka.
Malam itu menjadi lebih bermakna apabila Dyrga tampil berbusana songket lengkap dan membawakan Dikir Rambong dalam dialek Kelantan bersama-sama kumpulan dikir barat BaiZam Generation, mengimbau kenangan manis persembahannya di Gegar Vaganza musim ke-11 baru-baru ini. – Bernama
