Oleh Daniel Lim
BELAIT, 25 OGOS – Sepuluh pasukan daripada kumpulan belia seluruh negara telah bertanding dalam Pertandingan Tausyeh Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Balai Raya Kampung Sungai Teraban kelmarin.
Pertandingan anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kampung Sungai Teraban dengan kerjasama Pejabat Daerah Belait, pertandingan tersebut telah diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79.
Ketua Kampung Lumut II, Haji Khairdon bin Haji Dahlan, telah hadir selaku tetamu kehormat dan disambut oleh Ketua Kampung Sungai Teraban, Zaini bin Haji Kadri.
Ketua Kampung Sungai Teraban dalam ucapan perasmiannya menjelaskan bahawa pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu lima pasukan bertanding dalam kategori lelaki manakala lima pasukan lagi bertanding dalam kategori perempuan.
Setiap pasukan dinilai oleh panel hakim berdasarkan tiga aspek iaitu lagu, suara dan fasahah.
“Pertandingan ini bertujuan menyediakan platform kepada belia untuk memupuk kemahiran mengaji, di samping mempromosi dan memberi inspirasi kepada belia untuk mencintai bacaan tausyeh selaras dengan visi menerajui Brunei sebagai Negara Zikir,” tambahnya.
Di akhir pertandingan, tetamu kehormat turut menyampaikan hadiah kepada tiga pasukan pemenang terbaik bagi kedua-dua kategori.
Pasukan Firqah Amaturrahman telah menduduki tempat pertama manakala Pasukan Al Faaizuun dan Pasukan Syaja’ah masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Sementara dalam kategori perempuan, Pasukan Firqah Sofaul Qalb menduduki tempat pertama, diikuti Pasukan Dhiya’ul Iman Muslimah dan Pasukan Saidatul Iman di tempat kedua dan ketiga.


Semua di atas: Antara suasana semasa pertandingan berkenaan.

