Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daerah Belait penutup tirai Majlis Ramah Mesra

    Oleh Sim Y. H. – 

    BELAIT, 30 JULAI – Dengan barisan bendera kecil negara yang dikibarkan oleh penuntut sekolah sepanjang jalan menuju ke Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait serta kehadiran rakyat dan penduduk Daerah Belait yang bersama-sama turun ke kawasan padang, bukan sahaja menunjukkan semangat perpaduan tetapi juga ketaatsetiaan bagi sama-sama memeriahkan dan menyaksikan dengan lebih dekat lagi acara bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 tahun, hari ini.

    Matahari yang memancar terik di langit Daerah Belait, bagaikan mengalu-alukan serta menyemarakkan lagi semangat rakyat dan penduduk daerah berkenaan untuk sama-sama berkumpul tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan usia bagi menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan serta kerabat diraja berbekalkan semangat perpaduan dan taat setia kepada raja serta negara yang dicintai.

    Acara gilang-gemilang dan penuh warna-warni berkenaan melibatkan segenap lapisan masyarakat di daerah itu termasuk penuntut sekolah dan warga emas yang juga tidak ketinggalan untuk menatap wajah Baginda Sultan dengan lebih dekat lagi.

    Daerah Belait diberikan penghormatan sebagai daerah terakhir dan penutup tirai bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah tahun ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima junjung ziarah semasa berangkat ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para peserta pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Belait yang berlangsung di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bagi memotong kek Hari Keputeraan di petak BGC Sdn Bhd. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung bergambar ramai bersama warga BMC. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung menyaksikan pameran. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama penduduk dan rakyat pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan dijunjung beramah mesra bersama penduduk pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : Antara peserta yang mengambil bahagian dalam acara tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudian dijunjung ke Pentas Diraja dan lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan dimainkan.

    Bagi memeriahkan dan menyemarakkan sambutan sempena keberangkatan Baginda Sultan, acara pagi diserikan dengan sebuah persembahan khas yang ceria, bertenaga dan penuh warna-warni dengan membawa konsep Raja Berdaulat Lagi Terhormat.

    Persembahan khas itu merupakan gabungan peserta daripada pelajar sekolah-sekolah rendah, sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta serta belia seramai lebih 300 orang.

    Kemeriahan suasana Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah di daerah itu jelas terpamer pada wajah setiap rakyat dan penduduk yang tidak melepaskan peluang untuk menatap wajah Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain seterusnya menyembahkan sembah kehadapan majlis Baginda Sultan.

    Keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli serta beramah mesra bersama rakyat merupakan suatu tradisi murni yang dapat memberi peluang keemasan bagi mereka untuk menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang kepada pemimpin yang dikasihi serta ia merupakan acara yang amat dinanti-nantikan oleh segenap lapisan penduduk di daerah berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda