BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Pada suku kedua 2024, Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) telah menunjukkan peningkatan sebanyak 2.7 peratus tahun-ke-tahun kepada 95.1 berbanding Q2 2023 dengan peningkatan sebanyak 3 peratus berbanding suku pertama (Q1) tahun ini.
Indeks tersebut telah diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) menerusi data yang diperoleh daripada bank-bank di Negara Brunei Darussalam dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan lndustri Pembinaan (ABCi).
Menurut kenyataan BDCB, RPPI mengukur kadar perubahan harga hartanah kediaman persendirian yang dibeli oleh isi rumah dari semasa ke semasa.
Berdasarkan data pinjaman yang diperoleh daripada bank-bank, sebanyak 123 transaksi pembelian hartanah kediaman persendirian telah dicatatkan pada Q2 2024.
Ini menunjukkan penurunan sebanyak 4.7 peratus berbanding dengan satu tahun yang lalu dan peningkatan sebanyak 51.9 peratus berbanding dengan Q1 2024.
Pada Q2 2024, sebahagian besar daripada transaksi tersebut adalah bagi pembelian rumah berasingan atau detached (60.2%), diikuti oleh rumah teres (21.1%) dan rumah berkembar atau semi-detached (18.7%).
Tiada pembelian pangsapuri dan tanah melalui pembiayaan bank telah dicatat pada Q2 2024.
Harga penengah (median) bagi pembelian semua jenis hartanah kediaman persendirian pada Q2 2024 adalah $250,000.
Ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.8 peratus berbanding dengan Q2 2023, dan peningkatan sebanyak 1.2 peratus berbanding Q1 2024.
Harga penengah mengikut jenis rumah adalah $269,000 bagi rumah berasingan, $285,000 bagi rumah berkembar dan $212,000 bagi rumah teres.
Pengiraan RPPI adalah menggunakan harga penengah dan bukan harga purata kerana harga penengah tidak mudah terjejas oleh harga hartanah yang luar biasa dalam suatu tempoh masa.
Dari segi lokasi, kebanyakan pembelian hartanah persendirian pada Q2 2024 terletak di Daerah Brunei dan Muara (103 hartanah), diikuti Daerah Belait (10), Daerah Tutong (9) dan Daerah Temburong (1).
Sehubungan dengan ini, lima buah mukim yang merekodkan jumlah transaksi yang tertinggi bagi Q2 2024 adalah Mukim Sengkurong, Mukim Mentiri, Mukim Kilanas, Mukim Gadong dan Mukim Berakas B.
lndeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung kepada indeks dan statistik tersebut untuk menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman persendirian adalah berbeza tertakluk antara lainnya kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.
Bagi maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini boleh didapati di Iaman web BDCB www.bdcb.qov.bn.
Maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui akaun lnstagram BDCB @centralbank.brunei.