Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 6 Nov – Sebagai pusat kecemerlangan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) Tutong mempunyai bidang perkhidmatan khusus bagi penjagaan yang terbaik dan berkualiti tinggi kepada semua pelanggan.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong yang juga selaku penghulu Mukim Tanjong Maya, Zon 1, Daerah Tutong semasa ditemu bual menjelaskan lagi bahawa penduduk Daerah Tutong amat bertuah kerana Hospital PMMPMHAMB telah memberikan kemudahan bagi rawatan mata dan endoskopi dan gastroenterologi yang bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk di daerah ini, malah seluruh negara.
Melalui hasil muzakarah bersama para penghulu dan ketua-ketua kampung bagi Daerah Tutong yang diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Tutong, petang tadi, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab berkata, beberapa isu telah dikongsikan orang ramai berhubung dengan Kementerian Kesihatan.
Antara yang dibangkitkan seperti wad-wad bersalin yang dipindahkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, isu-isu kecemasan dan terdapat penduduk daerah lain atau pedalaman yang tidak dapat hadir untuk menerima rawatan kerana masalah kenderaan atau ekonomi dan sebaliknya.
Melalui muzakarah ini, beliau berharap supaya perkhidmatan Kementerian Kesihatan ini akan terus diperkasakan lagi dan orang ramai diminta akan terus membantu Kementerian Kesihatan terutama bagi menjaga kebersihan, perlunya ada kerjasama dan mengamalkan gaya hidup yang sihat bagi menjimatkan kos negara terhadap perubatan dan seumpamanya.


Mengenai pusat kecemerlangan pula, Penguasa Perubatan Hospital PMMPMHAMB Tutong, Dr. Sofian bin Dato Paduka Haji Johar ketika ditemu bual menjelaskan bahawa maksud pusat kecemerlangan adalah Hospital PMMPMHAMB menerima rawatan-rawatan pesakit yang telah pun dibuat oleh pakar-pakarnya tersendiri.
Pada masa ini, Hospital PMMPMHAMB telah menjadi pusat sehenti bagi diagnosis dan rawatan pesakit seperti kes-kes pembedahan mata (cataract) dan perkhidmatan endoskopi dan gastroenterologi.
Fokus utama rawatan tersebut adalah untuk membuat rawatan secara holistik, sesuai dengan visi Kementerian Kesihatan untuk memudahkan pesakit-pesakit membuat pendaftaran, didiagnosis dan dirawat di satu tempat.
Strategi Kementerian Kesihatan untuk menjadikan hospital berkenaan sebagai pusat kecemerlangan adalah untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dengan membuat perkhidmatan tersebut lebih efisien di samping dapat mengurangkan masa menunggu pesakit terhadap pembedahan dijalankan yang perlu membuat prosedur.
Beliau menjelaskan lagi bahawa Hospital PMMPMHAMB juga akan mempunyai perkhidmatan urologi yang mempunyai prinsip sama agar perkhidmatan tersebut akan lebih cekap dan pada masa ini, perkhidmatan tersebut masih dalam percubaan.