Oleh Ak Zaki Kasharan –
TUTONG, 6 SEPT – Jabatan Daerah Tutong akan mengadakan majlis pengundian dan pemilihan calon bagi Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang Kawasan 1 serta bagi Penghulu Mukim Kiudang, Ketua Kampung Kiudang dan Padnunok dalam masa terdekat ini.
Perkara berkenaan telah dimaklumkan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri semasa sidang media di Jabatan Daerah Tutong, hari ini.
Beliau menjelaskan, Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung RPN Bukit Beruang Kawasan 1 dengan kaedah kertas undi akan diadakan pada 10 September di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang mulai 8 pagi hingga 11 pagi.
Pengundian menggunakan aplikasi mudah alih E-Undi PMKK pula akan dibuka selama tiga hari bermula 8 September. Pendaftaran bagi undian melalui aplikasi E-Undi PMKK bolehlah dibuat pada hari ini dan esok.
Sementara itu, Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Kiudang dan Calon Ketua Kampung Kiudang dan Padnunok dengan kaedah kertas undi akan diadakan serentak pada 17 September di Sekolah Rendah Kiudang mulai 8 pagi hingga 2 petang.
Bagi pengundian menggunakan aplikasi mudah alih E-Undi PMKK, ia akan dibuka selama tiga hari, 15 hingga 17 September dengan undian bolehlah dibuat mulai sekarang hingga 14 September.
Sehubungan itu, Awang Mohammad Sofian menyeru semua warganegara dan penduduk tetap yang tinggal dan bermastautin di RPN Bukit Beruang Kawasan 1 dan penduduk kampung di bawah Mukim Kiudang iaitu Kampung Kiudang, Kampung Padnunok, Kampung Mungkom, Kampung Birau, Kampung Kebia, Kampung Luagan Timbaran, Kampung Batang Mitus, Kampung Bakiau dan Kampung Pengkalan Mau dan berumur 18 tahun ke atas untuk sama-sama hadir mengundi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan para penduduk mukim dan kampung yang akan menggunakan aplikasi E-Undi PMKK untuk memastikan akaun e-Darussalam mereka diaktifkan terlebih dahulu.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/09/P8-2-Daerah_07092023.jpg)