Thursday, April 3, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daerah Tutong persembahkan ‘Raja Terbilang Negara Cemerlang’

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    TUTONG, 25 JULAI – Sekali lagi, Daerah Tutong diberikan kepercayaan dan penghormatan untuk menjadi daerah pertama untuk mempersembahkan persembahan khas bersempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-75 di Padang Kompleks Dewan Kemasya-rakatan, Daerah Tutong, hari ini.

    Persembahan khas bagi Daerah Tutong pada tahun ini melibatkan seramai 275 orang peserta secara keseluruhannya yang terdiri daripada penyanyi, pelakon dan penari dengan persembahan bercorakkan muzikal drama yang penuh keceriaan dan warna-warni bagi menzahirkan rasa kasih sayang rakyat kepada raja.

    Kemeriahan diilhamkan melalui persembahan sebuah drama yang mengisahkan warga kampung serta sekumpulan kanak-kanak dan belia-belia kampung berusaha untuk membina sebuah bahtera sebagai simbolik menjunjung keberangkatan raja yang dikasihi.

    Persembahan yang membawa tema ‘Raja Terbilang Negara Cemerlang’ ini diterjemahkan melalui tiga segmen utama di mana segmen pertama menceritakan tentang sebuah kampung yang damai dan ceria di bawah kepimpinan seorang ketua kampung yang berwibawa.

    Penduduk kampung masih kuat mengamalkan budaya hidup bermasyarakat, taat beragama, rajin berusaha, saling bantu-membantu serta sentiasa menghormati raja dan pemimpin.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat menyaksikan persembahan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, kelmarin.
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama para peserta persembahan.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-75 di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, kelmarin.
    Baginda Sultan berkenan dijunjung merakamkan kenangan bersama pelajar yang hadir semasa acara itu.
    ATAS& BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ketika berkenan berangkat menyaksikan persembahan padang.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan beramah mesra bersama pelajar yang hadir.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan turut berangkat bagi ramah mesra bersama rakyat dan penduduk Daerah Tutong.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bergambar ramai bersama antara peserta yang terlibat dalam persembahan di Daerah Tutong.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ketika berkenan beramah mesra bersama para pelajar yang terlibat dalam persembahan.
    ATAS & BAWAH: Antara yang dipersembahkan dalam persembahan khas bersempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-75 di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, kelmarin.

    Suasana ini dapat dirasai melalui lagu Kami Pasti Berjaya yang dipersembahkan.

    Segmen kedua pula menceritakan tentang kesungguhan penduduk kampung yang sentiasa bersemangat untuk mencapai impian iaitu membina sebuah bahtera, ibarat kata pepatah ‘berat sama dipikul ringan sama dijinjing’.

    Kerinduan dan kegembiraan bertemu raja yang disayangi diterjemahkan melalui sebuah lagu Joget Kasihkan Raja.

    Manakala dalam segmen ketiga menzahirkan rasa sayang rakyat kepada raja dengan lagu tema memberikan mesej jelas tentang ketaatan seluruh hamba rakyat yang tidak berbelah bahagi kepada raja yang disayangi sebelum persembahan disusuli dengan laungan “Daulat Kebawah Duli Tuan Patik” secara beramai-ramai.

    Huraian tema persembahan pada pagi tadi ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan adil lagi bijaksana ke arah kemakmuran dan kemajuan negara yang seimbang berlandaskan prinsip Melayu Islam Beraja.

    Sementara itu, kestabilan negara terus dinikmati melalui pemerintahan Baginda Sultan yang syumul dan progresif berorientasikan prinsip keislaman, pembangunan mapan, sosial dan ekonomi yang dinamik.

    Gabungan persembahan yang ditampilkan oleh rakyat dan penduduk di Daerah Tutong terdiri daripada sektor awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, majlis perundingan kampung serta individu di samping para penuntut Sekolah Rendah Muda Hashim Tutong, Sekolah Nusa Jaya Tutong, Sekolah Chong Hwa Tutong, Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong, Sekolah Menengah Sayyidina Othman Tutong dan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong tersebut menggambarkan perpaduan rakyat dan penduduk ke arah kehidupan yang aman makmur dan sejahtera dalam menzahirkan taat setia dan menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda