Wednesday, March 26, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dafi rancak terokai bisnes dron, tak putus asa walau pernah ditipu

    Penyanyi Malaysia, Dafi, tidak serik menceburi bidang perniagaan meskipun beberapa kali menjadi mangsa penipuan.

    Tidak menyalahkan individu berkenaan, Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 37, sebaliknya menganggap perkara itu terjadi disebabkan kesilapan diri sendiri yang tidak peka terhadap risiko perniagaan berkenaan.

    “Dulu saya hanya sekadar melabur dan orang lain uruskan. Tapi saya tak belajar apa-apa dan ada juga pihak tidak jujur.

    “Saya pun tidak pasti mengapa, kalau mereka guna duit sendiri, perniagaan itu menjadi tapi bila saya laburkan duit terus mereka buat sambil lewa.

    “Mungkin saya yang mudah percaya, tapi saya tak salahkan orang kerana saya sendiri yang tak ambil tahu dan lepas tangan selepas melabur,” katanya kepada mStar.

    Dafi berkongsi perkara itu ketika ditemui Program Tautan Kasih Mstar bersama anak-anak yatim di Bandar Baru Bangi, Selangor.

    Meskipun berdepan pelbagai cabaran, namun Dafi tidak berputus asa mencuba perniagaan yang lain pula.

    Malah dia kini memulakan perniagaan perkhidmatan dron bersama rakan kongsi.

    “Perniagaan itu pun masih lagi diperingkat awal. Jadi saya banyak guna masa untuk kembangkan perniagaan itu bersama rakan niaga saya.

    “Saya nak cuba sesuatu yang sedikit di luar kebiasaan saya selama ini. Saya rasa perniagaan ini menarik kerana tidak pernah mencubanya,” jelasnya.

    Dalam perkembangan lain, Dafi meluahkan hasrat ingin kembali aktif dalam dunia seni.

    Katanya dia tidak mahu berhenti daripada melakukan sesuatu yang diminati.

    “Saya nak mula aktif kembali seperti dulu, harapnya ada peluang untuk kembali.

    “Saya cuma nak kekal ada. Saya faham turun naik sebagai artis itu biasa,” kongsinya. – Agensi

    Dafi atau Gadaffi Ismail, penyanyi Malaysia hasil keluaran dari program realiti Akademi Fantasia. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda