Daftar hotel hanya guna pengecaman wajah

SINGAPURA, 7 NOV – Para pelancong yang berkunjung ke Singapura kini boleh mendaftar masuk ke beberapa buah hotel menggunakan teknologi pengecaman wajah di bawah program rintis yang boleh mengurangkan waktu menunggu dan membantu menangani kekurangan buruh.

Negara berteknologi canggih yang mempunyai 5.7 juta orang itu dengan pantas beralih kepada automasi untuk mempertingkatkan perkhidmatan dan menangani kekurangan tenaga kerja, dengan robot-robot dikerahkan untuk membuat pelbagai tugasan dari tukang bersih hingga membuat mi.

Di bawah projek rintis yang dilancarkan kelmarin itu, para pengunjung tidak perlu menunggu untuk mendaftar masuk melalui kakitangan hotel sebaliknya hanya menggunakan aplikasi telefon yang dilengkapi dengan teknologi pengecaman wajah atau mesin yang mengimbas pasport mereka.

Data dari imbasan itu akan dihantar ke pihak berkuasa imigresen untuk pemeriksaan yang mana selepas itu pengunjung akan diberikan kunci bilik, kata Lembaga Pelancongan dan Persatuan Hotel Singapura, yang mengumumkan inisiatif itu minggu ini.

Teknologi itu dilaporkan dalam percubaan di tiga buah hotel dan serupa dengan apa yang digunakan di beberapa buah lapangan terbang termasuk Changi Singapura, yang boleh mengurangkan waktu daftar masuk kepada kira-kira 70 peratus, kata mereka. – AFP