BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Progresif Sdn Bhd (Progresif), imagine Sdn Bhd (imagine) dan Mach Telecommunications Systems Sdn Bhd (MachTel) akan menawarkan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) bagi mendapatkan keputusan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) bagi tahun 2025.
Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga serta pelajar yang ingin melanggan perkhidmatan tersebut boleh pendaftaran melalui SMS dengan memasukkan teks dengan menaip MOE<jarak>REG<jarak>[KOD PUSAT]<jarak>[NOMBOR CALON] dan dihantar ke 8885555 bagi pelanggan DST, 38666 bagi pelanggan Progresif dan 39666 bagi pelanggan imagine.
Ibu bapa atau penjaga serta pelajar boleh mula melanggan perkhidmatan tersebut mulai esok dan tiada sebarang bayaran akan dikenakan semasa pendaftaran yang dilakukan melalui telefon bimbit.
Keputusan peperiksaan hanya akan dihantar kepada pelanggan melalui SMS setelah mendapat kelulusan daripada Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan untuk mengeluarkan keputusan tersebut. Pelanggan akan dikenakan pembayaran berjumlah $3 bagi setiap keputusan SMS yang diterima.
Kementerian Pendidikan berharap melalui perkhidmatan yang disediakan ini akan dapat memberi manfaat kepada orang ramai, terutama para ibu bapa atau penjaga dan pelajar serta pihak berkepentingan Kementerian Pendidikan secara umum.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan mengenai tatacara pendaftaran, bolehlah berhubung terus melalui nombor 8671355 atau e-mel ke moeresults@machbrunei.com


