Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Ibu bapa dan penjaga boleh mendaftar untuk melanggan bagi menerima keputusan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2022 menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) dengan langganan perkhidmatan itu bermula esok.
Perkhidmatan itu ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Progresif Sdn Bhd dan Mach Telecommunications Systems Sdn Bhd (MachTel).
Ibu bapa dan penjaga yang ingin melanggan perkhidmatan itu dikehendaki untuk mendaftar secara dalam talian melalui SMS dengan memasukkan teks MOE<jarak>REG<jarak>(KOD PUSAT)<jarak>(NOMBOR CALON) dan dihantar ke talian 8885555 bagi pelanggan DST dan 38666 bagi pelanggan Progresif.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya hari ini, menyatakan tiada bayaran akan dikenakan sewaktu pendaftaran melalui laman sesawang atau telefon bimbit.
Keputusan peperiksaan hanyaakan dihantar kepada pelanggan melalui SMS setelah mendapat kelulusan daripada Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan untuk mengeluarkan keputusan berkenaan.
Pelanggan akan dikenakan bayaran sejumlah $3 bagi setiap keputusan SMS yang diterima.
Kementerian Pendidikan berharap melalui perkhidmatan yang disediakan itu, akan dapat memberi manfaat kepada orang ramai, terutama ibu bapa atau penjaga dan pelajar serta pihak berkepentingan Kementerian Pendidikan secara umum.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai tatacara pendaftaran, mereka boleh berhubung melalui e-mel, machbrunei.com/moe.html.