NEW DELHI, 22 OKT – Perdagangan China-India meningkat 49 peratus kepada AS$90 bilion pada sembilan bulan pertama 2021 berbanding tempoh sama tahun lepas.
India menjangkakan mencatat rekod pertumbuhan dalam pertukaran perdagangannya dengan China tahun ini, kata seorang pegawai kanan kementerian luar India.
Defisit perdagangan untuk tempoh Januari-September berjumlah AS$47 bilion, kata setiausaha asing Harsh Vardhan Shringla pada Khamis.
India mahu mendapatkan lebih banyak akses pasaran di China untuk produk farmaseutikal, pertanian dan teknologi maklumat untuk merapatkan jurang defisit perdagangan dengan ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Jumlah dagangan antara kedua-dua negara dianggarkan kira-kira AS$88 bilion pada 2020.
Shringla berkata China adalah satu-satunya ekonomi utama yang mencatat pertumbuhan positif pada tahun 2020 walaupun terdapat pandemik COVID-19.
“Sebagai penyumbang terbesar perdagangan dunia dan rakan dagang terbesar kami, sangat penting bagi kami untuk mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai ekonomi China,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai pertikaian sempadan antara kedua-dua negara. – Bernama