BEIJING, 16 JAN – Nilai perdagangan luar China buat julung kalinya melepasi paras RMB40 trilion (RM26 trilion) pada 2022 sekali gus menyaksikan China kekal sebagai negara perdagangan barangan terbesar dunia selama enam tahun berturut-turut.
Prestasi itu turut memperkukuh keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap ekonomi negara Tembok Besar ini.
Menurut data Jabatan Pentadbiran Am Kastam (GACC), jumlah import dan eksport perdagangan barangan China bagi 2022 meningkat sebanyak 7.7 peratus berbanding 2021 dengan mencapai angka RMB42.07 trilion (RM27.2 trilion).
Tatkala berdepan dengan risiko peningkatan kemerosotan ekonomi global, pertumbuhan permintaan luar yang semakin perlahan serta penularan wabak COVID-19 yang masih membelenggu dunia, China terus mencapai lonjakan besar dalam bidang perdagangan luar.
Eksport China dengan rakan dagang utama seperti ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) kekal meningkat pantas manakala eksport dengan negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menokok 20 peratus iaitu menyumbang 6.1 peratus kepada keseluruhan pertumbuhan eksport China sepanjang 2022.
Prestasi mantap sektor perdagangan luar China mustahil dicapai tanpa sokongan kukuh dari segi dasar.
Sejak tahun lepas, kerajaan China telah memperkenalkan langkah-langkah untuk membantu syarikat perdagangan luar menyelesaikan masalah logistik serta modal dan ia terbukti kondusif bagi terus merangsang kedinamikan sektor berkenaan.
Mutakhir ini, kerajaan tempatan provinsi Guangdong, Zhejiang, Jiangsu dan Sichuan masing-masing mengatur sejumlah syarikat perdagangan luar melawat ke luar negara dalam usaha mencari peluang perniagaan dan memperluas tempahan. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/01/P14-B_17012023.jpg)