Dagangan Sept catat $1,051.8 juta

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Jumlah perdagangan Negara Brunei Darussalam pada bulan September 2019 menurun 11.4 peratus kepada $1,051.8 juta berbanding bulan September 2018, menurut kenyataan dari Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), hari ini.

Jumlah eksport menurun sebanyak 3.9 peratus tahun-ketahun kepada $618.8 juta disebabkan oleh penurunan eksport minyak mentah sebanyak 9.1 peratus.

Manakala, eksport gas asli asli (LNG) mencatatkan peningkatan sebanyak 11.9 peratus. Penurunan eksport minyak mentah adalah disebabkan oleh penurunan harga eksport minyak mentah daripada AS$80.08 setong sehari kepada AS$67.22 setong sehari. Walau bagaimanapun, jumlah isi padu eksport minyak mentah telah mencatatkan peningkatan.

Sementara itu, jumlah import turut menurun sebanyak 20.3 peratus tahun-ketahun kepada $433 juta. Lima komoditi import utama pada bulan ini adalah jentera dan kelengkapan pengangkutan (45 peratus) diikuti oleh barang-barang keluaran kilang (18.2 peratus), makanan (10.3 peratus), bahan api galian (9.7 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (8 peratus).

Mengikut kategori penggunaan akhir, import barang perantaraan merangkumi 58.3 peratus daripada jumlah import diikuti oleh import barang modal (34.4 peratus) dan barang penggunaan (7.3 peratus).

Pasaran eksport terbesar bagi Negara Brunei Darussalam pada bulan September 2019 adalah Jepun (22.3 peratus) diikuti oleh Thailand (18.1 peratus) dan India (18.1 peratus).

Dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Singapura (16 peratus) diikuti oleh Malaysia (13.5 peratus) dan Jerman (12.1 peratus).

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi bulan September 2019 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn.