Daging diragui halal dirampas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Hampir 80kg daging ayam dan kambing serta lebih 80 paket makanan segera daripada daging ayam yang diragui kehalalannya telah dirampas di sebuah rumah di kawasan Kampung Rimba oleh pegawai penguat kuasa dari Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei (JKED) baru-baru ini.

Dalam rampasan pada 14 Januari lalu itu, sebanyak 50kg sayap ayam, 10kg paha ayam dan 18kg daging kam-bing serta paket makanan terdiri daripada 62 paket sosej ayam pelbagai jenama dan 20 paket nuget disyaki dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import halal dan tidak diisytiharkan kepada JKED.

Menurut kenyataan dikeluarkan di sini, operasi bersepadu itu adalah hasil maklumat orang ramai dan risikan dijalankan BKMH mengenai penyimpanan daging mentah yang diragui kehalalannya.

Dalam operasi jam 9:30 pagi itu, para pegawai BKMH dan JKED telah membuat pemeriksaan di rumah tersebut dan menemui sejumlah daging mentah disimpan dalam peti sejuk beku di dapur dan bilik persendirian.

Kesemua daging telah dirampas dan di bawah ke ibu pejabat BKMH dan kes diserahkan kepada JKED untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Syariah menyeru orang ramai terus bekerjasama dan menyalurkan serta mengongsikan maklumat mengenai kegiatan penyeludupan daging mentah melalui talian hotline 7166222 atau menghubungi mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.

Ia juga mengingatkan orang ramai bahawa kemasukan daging halal ke negara ini hendaklah mempunyai kebenaran Permit Import Halal yang sah dengan mengikuti proses-proses yang ditetapkan.

BKMH dan agensi-agensi lain akan terus meningkatkan rondaan dan operasi bagi memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan di negara ini sentiasa dipatuhi.

Daging ayam dan kambing yang diragui kehalalan ditemui dalam peti sejuk beku di Kampung Rimba. – Gambar serahan KHEU