Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daging ibadah korban sunat diagihkan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Umat Islam di Negara Brunei Darussalam mula melaksanakan ibadah korban sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha, kelmarin, dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan berikutan pandemik COVID-19.

    Hari ini, Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis Madang adalah antara yang mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha dan pengagihan daging-daging korban kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim di masjid tersebut.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin menyempurnakan pengagihan daging-daging korban kepada asnaf fakir miskin dan anak-anak yatim.

    Pada masa yang sama, pengagihan daging-daging korban juga diadakan secara pandu lalu yang telah disampaikan oleh Ketua Kampung Madang, Haji Emran bin Haji Ismail dan Pemangku Ketua Kampung Manggis 1 dan 2, Awang Omar bin Haji Ali.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika mengagihkan daging korban kepada salah seorang penerima pada majlis yang berlangsung di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis Madang.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyampaikan agihan daging korban kepada salah seorang penerima.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bersama tetamu lain pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis Madang kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menyampaikan agihan daging korban pada majlis tersebut.
    Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed menyampaikan daging korban secara pandu lalu kepada salah seorang penerima.
    Ketua Kampung Madang ketika mengagihkan daging korban kepada orang ramai melalui pandu lalu.

    Sebanyak 10 ekor sapi dan tiga ekor kerbau telah dikorbankan oleh 91 orang peserta korban. Daging-daging korban tersebut telah diagihkan kepada seramai 55 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin serta anak-anak yatim, dan lebih 400 bungkusan daging korban telah diagihkan kepada orang ramai secara pandu lalu.

    Sementara itu, sebanyak 10 ekor kerbau dan sapi telah dikorbankan oleh 66 orang peserta pada majlis yang dikendalikan oleh Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar pada tahun ini dan daging-dagingnya diagihkan kepada 200 orang fakir miskin dan tiga orang anak yatim.

    Majlis pengagihan daging korban yang dilaksanakan secara pandu lalu di masjid berkenaan itu telah disempurnakan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong yang juga penaung jawatankuasa takmir masjid berkenaan selaku tetamu kehormat majlis.

    Turut mengagihkan daging korban berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan pemangku ketua kampung, Haji Ibrahim bin Haji Jamaluddin.

    Pada majlis itu, seramai 20 sukarelawan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) turut terlibat membantu mengawal lalu lintas.

    Manakala itu, majlis anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Bunga Mukim Kota Batu pula menyaksikan tiga ekor sapi telah dikorbankan, hari ini. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Pusat Aktiviti Pelancongan Seri Tanjung, MPK Sungai Bunga tersebut ialah Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis selaku penghulu Mukim Kota Batu dan pemangku penghulu Mukim Kianggeh sekali gus merangkap penasihat MPK Sungai Bunga.

    Sebahagian daging korban berkenaan diagih-agihkan kepada 25 orang fakir miskin pada majlis berkenaan dan selebihnya dihantar ke rumah penerima. Ahli-ahli MPK Panchor dan ahli-ahli keluarga terdekat pula telah mengorbankan tiga ekor kerbau pada tahun ini dengan majlis pengagihannya juga telah dilaksanakan secara pandu lalu di kediaman salah seorang ahli Biro Perekonomian MPK berkenaan di Jalan Bukit Sinadur, Kampung Panchor.

    Majlis pengagihan daging korban yang julung kalinya dianjurkan oleh MPK Panchor itu disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman.

    Para penerima terdiri daripada 80 orang asnaf fakir miskin yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) di kampung berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda