TOKYO, 13 DIS – Daging daripada ikan paus sirip yang ditangkap buat kali pertama dalam hampir lima dekad di perairan pantai utara Jepun telah dijual pada harga lebih AS$1,300 sekilo dalam satu acara lelongan, kelmarin, ketika Jepun berusaha mengekalkan industri perikanan pausnya yang semakin merosot.
Agensi Perikanan Jepun tahun ini menambahkan ikan paus sirip ke dalam senarai tiga spesies paus yang boleh diburu secara sah, seiring dengan usaha negara itu memperluas aktiviti penangkapan ikan paus komersial di sepanjang pantainya.
Jepun kembali meneruskan penangkapan ikan paus komersial dalam zon ekonomi eksklusifnya selepas keluar daripada Suruhanjaya Perikanan Paus Antarabangsa (IWC) pada 2019, yang mengklasifikasikan ikan paus sirip sebagai spesies yang dilindungi daripada pemburuan berlebihan sejak 1976.
Menurut pihak berkuasa Jepun, tinjauan terkini mendapati populasi ikan paus sirip di Lautan Pasifik Utara telah pulih dengan mencukupi, di mana musim ini, Jepun telah menangkap 30 ekor ikan paus sirip, dengan separuh daripada kuota 60 ekor yang ditetapkan.
Selain itu, kuota gabungan sebanyak 379 ekor ditetapkan untuk tiga spesies lain iaitu ikan paus minke, Bryde dan sei.
Syarikat pengendali armada penangkapan ikan paus terbesar di Jepun, Kyodo Senpaku Co, melancarkan kapal baharu seberat 9,300 tan bernilai AS$49 juta bernama Kangei Maru tahun ini, sebagai tanda komitmen meneruskan industri tersebut.
Setakat kelmarin, sebanyak 1.4 tan daging segar daripada beberapa ekor ikan paus sirip yang ditangkap di perairan Hokkaido dilelong di pasar ikan Sapporo dan pelabuhan asal Kangei Maru di Shimonoseki.
Di Shimonoseki, 250 kilogram daging ikan paus sirip yang dihantar dari Hokkaido dijual dalam lelongan tersebut. Bahagian ekor, yang dianggap hidangan istimewa dikenali sebagai onomi, mencatatkan harga tertinggi sebanyak AS$1,312 sekilo, menurut Jabatan Promosi Perikanan bandar berkenaan. – AP