Oleh Afiq Zainuddin –
Daging masak hitam merupakan antara hidangan orang melayu yang popular bukan sahaja di negara kita bahkan di luar negara. Hidangan yang mempunyai rasa manis dan masin ini dihasilkan daripada daging lembu yang dimasak dalam sos pekat yang diperbuat daripada sos tiram, kicap manis dan pes cili.
Hidangan ini biasanya boleh didapati apabila kita bertandang ke majlis perkahwinan dan acara keramaian. Yang mana masakan ini sangat sesuai untuk dijadikan salah satu hidangan istimewa untuk disajikan kepada tetamu dan merupakan antara sajian yang dicari-cari selain ayam masak merah.
Walaupun daging masak hitam ini nampak mudah untuk disediakan namun, cara penyediaannya boleh dikatakan agak rumit kerana memerlukan teknik yang betul.
Berkongsi secara ringkas antara bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat daging masak hitam adalah daging, serai yang diketuk, daun pandan, kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih, cili kisar, tomato yang dihiris hingga nipis, kicap manis, air secukupnya, garam, bawang goreng untuk taburan, minyak dan sebagainya.
Manakala bahan-bahan untuk perapan pula adalah sos tiram, kicap manis, serbuk jintan putih, serbuk ketumbar dan serbuk jintan manis.
Cara penyediaannya pula, mula-mula perap daging dengan kicap manis, kicap pekat dan cili kering kisar.
Kemudian, perap sehingga dua ke tiga jam agar perapan itu jadi lembut, semakin lama daging diperap, lebih enak rasanya. Sementara menunggu daging yang diperap, kisar dahulu bahan-bahan lain. Kisarkan bawang besar, bawang putih dan halia. Selepas itu kisarkan serai, jintan manis dan lada hitam.
Selepas itu panaskan minyak panas dan tumis bahan-bahan yang sudah di kisar tadi, apabila bawang sudah garing masukkan rempah yang sudah di kisar tadi dan masak sehingga pecah minyak. Apabila dah pecah minyak, masukkan daging yang diperap tadi.
Kemudian masak sehingga empuk menggunakan api dalam keadaan sederhana supaya daging masak dengan baik, namun jangan tambah air.
Apabila sudah nampak kering sedikit, masukkan sos tiram satu sudu makan. Gaul sampai betul-betul kering.
Setelah itu masukkan satu sudu makan gula dan gaul sehingga rata. Sekiranya daging masih liat, awda boleh tambahkan lagi air dan masak sehingga kuah agak kering.
Kemudian angkat dan pindahkan hidangan tersebut ke dalam mangkuk dan ia pun sedia untuk dihidang.
Tidak hanya sesuai dimakan bersama nasi, menu ringkas tersebut boleh dijadikan sebagai inti untuk sandwic. Pendek kata, bagi mereka yang sedang berdiet, boleh menggantikan nasi dengan roti atau tortilla wrap bijiran penuh untuk dimakan bersama daging masak hitam tersebut. Selamat mencuba.
Bahan-bahan:
• Daging
• Serai
• Daun pandan
• Kayu manis
• Buah pelaga
• Bunga lawang
• Bunga cengkih
• Cili kisar
• Tomato
• Kicap manis secukupnya
Bahan-bahan untuk perapan:
o Sos tiram
o Kicap manis
o Serbuk jintan putih
o Serbuk ketumbar
o Serbuk jintan manis