LOS ANGELES, 24 JULAI – Sebuah pesawat kecil terhempas di pergunungan Alaska selepas membawa muatan berlebihan berupa daging rusa dan sepasang tanduk yang diikat pada sayap pesawat, menurut laporan siasatan nahas yang dikeluarkan minggu ini.
Juruterbang, Eugene Peltola, meninggal dunia beberapa jam selepas pesawat jenis Piper PA 18-150 Super Cub yang dipandunya terhempas berhampiran kawasan pergunungan St Mary di barat daya Alaska pada September 2023.
Menurut laporan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara Amerika Syarikat (NTSB) yang dikeluarkan pada Selasa, pesawat itu membawa lebih 225 kilogram daging rusa, melebihi 100 paun daripada had berat yang dibenarkan ketika berlepas dari landasan terpencil di Rizab Hidupan Liar Nasional Delta Yukon.
Laporan itu turut menyatakan tanduk rusa yang diikat pada tiang sayap kanan pesawat merupakan amalan biasa dalam penerbangan luar bandar di Alaska, turut menjejaskan kestabilan pesawat akibat rintangan aerodinamik yang tinggi.
Ketua Wilayah Alaska NTSB, Clint Johnson, dipetik berkata kepada media tempatan terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kepada nahas tersebut.
“Nombor satu, jelas sekali pesawat terlebih muatan. Tiada kompromi di situ,” katanya kepada laman web Alaskanewssource.com.
“Yang kedua, seretan parasit daripada tanduk rusa yang diikat pada sayap kanan dan ketiga adalah pergolakan angin mekanikal di penghujung kawasan berlepas. Ketiga-tiga faktor inilah yang menyebabkan nahas tragik ini.
“Kalau salah satu daripada faktor itu tidak wujud, mungkin kita tidak akan berbual tentang tragedi ini,” tambahnya. – AFP
