Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan yang menjelang tiba, syarikat Daimun Sekuriti (DSS) dengan kerjasama Masjid Kampung Lambak buat julung-julung kalinya mengadakan Kempen Gotong Royong Kebersihan Masjid, Sumbangan Barangan Pengurusan Jenazah, dan Pembersihan Tanah Perkuburan pagi tadi.
Hadir semasa aktiviti dan menyerahkan sumbangan berkenan ialah Pengarah Urusan DSS, Wan Mohd Tambrin Sah bin Haji Suhaili dan hadir menerima sumbangan berkenaan ialah Bilal Masjid Kampung Lambak, Haji Abdul Sidek bin Haji Abdul Karim.
Menurut DSS, aktiviti amal berkenaan merupakan usaha syarikat dalam memberi manfaat besar kepada masyarakat di samping memupuk semangat kerjasama dan silaturahim antara pihak DSS, pengurusan masjid dan penduduk setempat.
Mengenai dengan sumbangan barangan pengurusan jenazah, DSS menyumbangkan beberapa barangan termasuk peralatan dan barangan keperluan seperti kain kafan, sabun, pewangi, kapas, alat mandian jenazah dan lain-lain.
Sementara aktiviti kebajikan kempen gotong royong membersihkan kawasan masjid termasuk jamban, ruang solat, kawasan luar dan banyak lagi dan diikuti dengan membersihkan perkarangan perkuburan Islam seperti memotong rumput, membersihkan laluan dan memperindah kawasan tanah perkuburan Pasir Berakas.
DSS turut memberikan sumbangan derma ke tabung anak-anak yatim di masjid berkenaan untuk meringankan lagi bebanan anak-anak yatim menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
DSS mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak masjid dan para jemaah yang terlibat dalam sama-sama menjayakan aktiviti berkenaan dan berharap aktiviti amal ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/4-kempen-2.jpg)
Antara aktiviti yang dijalankan semasa kempen berkenaan.