SHAH ALAM, 5 OKT – Syarikat pembekal produk kelengkapan rumah dari Jepun, Daiso bakal membina Pusat Pengedaran Global (GDC) terbesarnya di Pelabuhan Klang, Selangor pada bulan Mei tahun depan.
GDC tersebut merupakan hab antarabangsa kedua Daiso selepas China.
Pengerusi Daiso Malaysia Group Sdn Bhd, Tan Sri Khairul Adib Abdul Rahman berkata GDC tersebut akan berfungsi sebagai hab pengedaran global untuk Daiso melancarkan operasi logistik kemasukan produk Daiso dari Jepun dan China serta pengedarannya ke 22 buah negara di Asia dan Timur Tengah.
“GDC baharu yang berkeluasan 130,000 kaki persegi itu membabitkan pelaburan RM1 bilion dan dijangka siap pada Mei 2026 dan dijadual beroperasi pada Januari 2027,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian antara Daiso Malaysia dan Kajima-Suncon di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Presiden Daiso Industries Co Ltd, Seiji Yano.
Khairul Adib berkata kerjasama Daiso Malaysia dengan Kajima-Suncon, satu usaha sama diterajui Kajima (Malaysia) Sdn Bhd dan Sunway Construction Sdn Bhd menerusi pemeteraian Surat Perjanjian yang ditandatangani hari ini untuk penubuhan GDC itu adalah bukti transformasi syarikat itu bagi meningkatkan ketersediaan produk Daiso di rantau berkenaan.
Sementara itu, Amirudin berkata pembinaan hab global tersebut merupakan hasil usaha berterusan yang digembleng Invest Selangor Bhd sejak beberapa tahun lepas.
Beliau berterima kasih kerana Daiso memilih Selangor bagi pelaburan bernilai tinggi berkenaan.
“Hab logistik global ini bukan benda baharu di Selangor, sebelum ni pelbagai syarikat telah melakukannya, terbaharu adalah Lazada dan Shopee bagaimanapun Daiso ini adalah peringkat yang lebih besar dan kita berbangga kerana ia hab terbesar bagi Daiso di seluruh dunia,” katanya. – Bernama