ISTANBUL, 27 Feb – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kelmarin menafikan bahawa tidak ada mana-mana pegawai tertinggi Venezuela melarikan diri ke negaranya tatkala negara Amerika Selatan itu kini berdepan ketidakstabilan politik dan ekonomi.
Erdogan, penyokong kuat Nicolas Maduro, memberikan reaksi terhadap dakwaan oleh pencabar presiden Venezuela dan juga ahli politik pembangkang, Juan Guaido, yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden bulan lalu dan mendakwa, Maduro telah kehilangan kekuasaan.
“Tidak ada yang melarikan dari Venezuela untuk mencari perlindungan di negara saya,” menurut Erdogan semasa membalas soalan ketika sesi temu bual bersama NTV. “Ia tidak benar.”
Guaido dalam satu kenyataan di Twitter pada Sabtu lalu yang merujuk kepada ‘pegawai-pegawai kanan’ telah melarikan diri ke Turki.
“Jika beliau berkata sedemikian, ia adalah kerana ia tidak tahu tentang Turki,” jelas Erdogan.
“Beliau perlu mempelajari beberapa perkara. Menjadi seorang pemimpin bukan mudah.”
Erdogan sekali lagi mempertahankan Maduro, di mana beliau menekankan bahawa beliau dipilih untuk menjadi presiden, sementara Guaido tidak.
Erdogan dan Maduro merupakan sekutu lama dan presiden Venezuela itu merupakan pemimpin dunia pertama yang menyatakan sokongan terhadap pemimpin Turki selepas cubaan rampasan kuasa di Turki pada 2016. – AFP
