Saturday, April 26, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dakwaan rasuah terhadap bekas Presiden Korea Selatan ‘tidak adil’

    SEOUL, 25 APRIL – Bekas Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, mendakwa bahawa dakwaan rasuah terhadapnya bersifat tidak adil dan bermotifkan politik, dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

    Moon, 72, yang dikenali dengan pendekatan damai terhadap Korea Utara dan peranannya dalam merintis rundingan bersejarah dengan Kim Jong Un dan Donald Trump, telah didakwa menerima sogokan berjumlah AS$151,000 melalui pelantikan bekas menantunya sebagai pengarah di syarikat penerbangan tambang rendah Thailand, Thai Eastar Jet.

    Syarikat tersebut didakwa dikawal oleh seorang bekas ahli Parlimen dari parti Moon sendiri, yang cuba mengambil hati presiden ketika itu.

    Semasa pertemuan yang disiarkan secara langsung bersama Speaker Parlimen, Moon berkata, “Bukan sahaja dakwaan ini tidak adil, malah saya rasa pihak pendakwa seolah-olah telah menetapkan keputusan sejak awal lagi, tanpa menghiraukan fakta.”

    Beliau menyifatkan kes ini sebagai ‘contoh jelas pendakwaan yang dipolitikkan.’

    Bekas Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in tiba di Perhimpunan Kebangsaan di Seoul, Korea Selatan kelmarin. – AP

    Pendakwa raya mendakwa bekas menantu Moon diambil bekerja walaupun tidak memiliki pengalaman langsung dalam industri penerbangan dan kebanyakan tugasnya hanyalah menghantar e-mel serta kerap mengambil cuti panjang.

    Kes itu menambah kekusutan politik di Korea Selatan susulan pemecatan Presiden Yoon Suk-yeol selepas mengisytiharkan undang-undang tentera, yang memaksa negara itu mengadakan pilihan raya mengejut.

    Korea Selatan memang terkenal dengan sejarah pembalasan politik terhadap bekas pemimpinnya. Dua presiden terdahulu yang masih hidup – Lee Myung-bak dan Park Geun-hye – kedua-duanya pernah dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan rasuah.

    Kini, siasatan turut dibuka ke atas bekas wanita pertama, Kim Keon Hee, isteri kepada Yoon, yang dikaitkan dengan kes manipulasi harga saham. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda