KOTA KINABALU, 27 JUN – Aktiviti dakwah Islam di negeri ini wajar berjalan seiring dengan khidmat masyarakat untuk semua bagi memastikan mesej Islam membawa kesejahteraan dapat disampaikan seterusnya memberikan kehidupan lebih baik.
Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad berkata bagi merealisasikan hasrat itu, khidmat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu diberikan secara menyeluruh agar dapat memupuk hubungan baik dan kekeluargaan antara masyarakat berbilang agama serta latar belakang.
“Dakwah ini bukan secara lisan atau ceramah sahaja tetapi dakwah dalam konteks kebajikan, keprihatinan masalah ekonomi, pendidikan keseluruhan melibatkan masyarakat bukan sahaja Islam tetapi bukan Islam yang dapat memastikan kesejahteraan itu dikekalkan.
“Tanggungjawab NGO Islam ini lebih kepada sampaikan Islam itu membawa kesejahteraan, tidak hanya melihat konteks Islam atau bukan Islam sahaja, justeru sesiapa sahaja yang hidup dalam masyarakat ini perlu ada kerjasama, perlu dibela walau apa keadaan sekalipun,” katanya di Kepayan di sini hari ini.
“Kita berikan (khidmat) kepada semua kerana di Sabah masyarakatnya hidup harmoni berbilang latar belakang, mungkin dia Muslim bapanya bukan Muslim tetapi Islam menekankan walaupun ada ahli keluarga masuk Islam kita tidak akan dipisahkan, kekeluargaan kekal erat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata dengan dakwah berkesan serta hubungan erat NGO Islam dan masyarakat berbilang latar belakang, semua isu dan permasalahan terutama melibatkan agama Islam dapat dileraikan dengan aman dan harmoni. – Bernama