Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Para pengunjung khusus penggemar buku boleh mengetahui dengan lebih mendalam mengenai budaya, sejarah, tulisan dan seni masyarakat Oman menerusi koleksi pelbagai terbitan Oman yang diketengahkan semasa Pesta Buku Brunei 2023 yang berlangsung di Dewan Perpaduan, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.
Pesta buku anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan membawa tema Mari Membaca, diadakan sempena Sambutan Bulan Bahasa dari 5 Ogos hingga 14 Ogos.
Dalam hubungan itu, Kesultanan Oman turut mengambil bahagian dalam pesta buku berkenaan di mana penyertaannya diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara sahabat dalam bidang kebudayaan.
Duta Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Erma Said Al Kathiry dipetik menyatakan penghargaan kepada penganjur Pesta Buku Brunei 2023 atas penganjuran serta usaha mereka untuk mempromosikan ilmu pengetahuan dan sastera.
Acara itu, tambahnya, merupakan bukti komitmen kedua-dua buah negara ke arah memupuk minat membaca khususnya dalam kalangan belia yang merupakan kunci kepada masa hadapan yang lebih cerah.
PYT Erma Said Al Kathiry seterusnya berkata Pesta Buku Brunei 2023 juga merupakan platform yang cemerlang bagi menanam minat membaca dalam pemimpin muda masa hadapan. Ia memperkasakan mereka dengan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi pandangan serta memberikan inspirasi kepada mereka untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat.
Beliau turut memuji dedikasi pihak penganjur dalam menyediakan ruang yang baik bagi pembelajaran dan pertukaran intelek.
Pada masa yang sama, beliau juga mengalu-alukan orang ramai untuk melawat petak Kesultanan Oman di pesta buku berkenaan di mana ia menawarkan koleksi penerbitan yang mengetengahkan sumbangan tak ternilai daripada cendekiawan Oman yang unggul dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan.
Selain itu, orang ramai juga berpeluang menikmati pelbagai bahan bacaan yang meliputi sejarah kaya Oman, geografi, budaya, tradisi dan sastera.
Bagi para pengunjung yang ingin mendapatkan pengalaman yang lebih mendalam mengenai budaya dan warisan Kesultanan Oman, petak pameran itu juga mengetengahkan pelbagai bahan pameran budaya, artifak, filem, foto dan potret di mana ia memberikan gambaran menarik mengenai Oman pada masa lampau dan masa kini.