Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – Dengan hasrat untuk memahami dan melihat dengan lebih dekat lagi peranan serta fungsi yang dimainkan oleh Jabatan Penerangan khususnya dalam penyebaran maklumat kepada masyarakat, rombongan seramai 25 orang peserta yang menyertai Kursus Bengkel Editorial dan Perhubungan Awam mengadakan lawatan sambil belajar ke Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri hari ini.
Rombongan diketuai oleh Pegawai Perhubungan Awam dari Unit Perhubungan Awam, Kementerian Pertahanan, Awang Sufi Darwish bin Haji Kamis diberikan taklimat mengenai struktur organisasi dan strategi-strategi kerja Jabatan Penerangan termasuk objektif serta proses kerja pusat media dalam pelbagai aktiviti atau acara oleh Pegawai Penerangan selaku Ketua Unit Perhubungan Awam dan Perkhidmatan Media, Jabatan Penerangan, Awang Ali Termizzi bin Haji Ramlli.
Dalam sesi taklimat itu, beliau menjelaskan mengenai visi, misi, objektif dan strategi kerja Jabatan Penerangan dalam menyampaikan maklumat mengenai kerajaan kepada para penduduk dengan mengadakan komunikasi bersemuka, pengedaran atau penberigaan bahan-bahan terbitan serta perhubungan media dengan kaedah platform media massa atau media sosial.
Dalam taklimat itu, beliau menerangkan mengenai sejarah dan perkembangan jabatan berkenaan sejak penubuhannya pada 1 April 1952. Beliau juga menyentuh mengenai peranan utama jabatan iaitu menjelaskan dan menerangkan supaya rakyat dan penduduk faham, yakin serta menyokong kepimpinan raja dan jentera pentadbiran negara, menyampaikan dan memberigakan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan supaya difahami dan dihayati secara berkesan, menghubungkan rakyat dan penduduk dengan kerajaan melalui program-program dan aktiviti-aktiviti jabatan, memperkasa kefahaman rakyat dan penduduk terhadap Wawasan Brunei 2035 serta mengurus, menyelaras dan melaksanakan aktiviti perhubungan media.


Awang Ali Termizzi turut menerangkan mengenai tujuan dan proses kerja pusat media melalui perspektif berbeza seperti pembukaan pusat media semasa upacara kebesaran negara, mesyuarat melibatkan media negara luar, melibatkan krisis dan bencana serta acara kesukanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
Peserta kursus juga berpeluang untuk menyaksikan pameran Jabatan Penerangan dan membuat lawatan ke Bahagian Pelita dan Pusat Rujukan Penerangan. Mereka juga menyaksikan tayangan klip video, ‘Ristaan sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan Ke-65 Tahun’ dan klip video aplikasi mudah alih Jabatan Penerangan, InfoDeptBN.
Jabatan Penerangan yang dulu dikenali sebagai Perkhidmatan Penerangan di mana antara peranan utamanya ialah sebagai lidah dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan berita mengenai dasar, aktiviti dan program kerajaan dan mendengar isu-isu terkini serta memahami agenda media massa selaras dengan moto jabatan, Membudayakan Masyarakat Bermaklumat.