Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Kira-kira 23 orang pelajar Sekolah St Andrew berpeluang untuk mendalami pengetahuan dalam gaya hidup rendah sisa buangan dan amalan tabiat mesra alam menerusi sesi ceramah bertajuk Low Waste Living with Kaimana di Galeri Pelancongan dan Kebudayaan Kampong Ayer, hari ini.
Sesi ceramah merupakan sebahagian daripada program semasa pameran Green Horizons: Tourism and Sustainable Investments Exhibition, mengetengahkan Pengasas Bersama Kaimana, Trish Lai selaku penceramah.
Ceramah itu merupakan yang kedua diadakan dalam siri ceramah yang dijadualkan sepanjang pameran selama seminggu yang bermula 30 September hingga 7 Oktober.
Ia dihasratkan untuk menjadi platform bagi organisasi-organisasi berpandukan eko yang komited kepada inisiatif kemampanan untuk mengetengahkan mesej yang memberikan manfaat kepada alam sekitar serta mengangkat masyarakat setempat.
Sesi ceramah pertama bertajuk Discover Nature’s Beauty as a Bird Watching Guide telah disampaikan oleh Pakar Pemerhati Burung, Awang Muhammad Daud Abdullah, kelmarin.
Pameran itu diadakan bersempena dengan Hari Pelancongan Sedunia, yang merupakan sambutan tahunan yang diraikan pada 27 September. Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) telah memilih untuk mengetengahkan tema utama ‘Pelaburan Hijau dan Pelancongan’, bagi sambutan tahun ini.
Acara bermatlamat untuk membentuk semula pelaburan pelancongan selepas pandemik COVID-19 dengan tumpuan kepada tiga tonggak utama iaitu Orang, Planet dan Kemakmuran.
UNWTO menekankan kepentingan kritikal untuk menggabungkan pelaburan inovatif dan tradisional untuk mengemudi hala tujuan pelancongan mampan.