Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA’AT), hari ini, telah mengendalikan Bengkel Tahsinul Fikrah (Penyempurnaan Jenazah) bagi pegawai-pegawai kanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.
Bengkel berobjektif sebagai perkongsian ilmu dan kemahiran bersama pegawai-pegawai kanan ABDB dalam melaksanakan tuntutan Fardu Kifayah tersebut.
Hadir pada bengkel tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.
Turut hadir ialah pemerintah-pemerintah angkatan tentera dan angkatan bersama, para pengarah tentera, komandan angkatan tentera dan pegawai-pegawai kanan ABDB.
Antara pengisian bengkel ialah mengenai tatacara pengurusan jenazah iaitu memandikan dan mengapankan jenazah yang ditunjukkan oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada pegawai-pegawai JAMA’AT.
