Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 26 Feb – Sebagai usaha berterusan menyemai rasa kecintaan terhadap raja, agama, bangsa dan negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui cawangan Penerangan Daerah Belait telah mengadakan Taklimat Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Sekolah Menengah Chung Ching, di sini, hari ini.
Taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Ketua Cawangan Penerangan Belait, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Beliau antara lain telah menyentuh sejarah mengenai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seterusnya mengenai tata-cara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengetua Sekolah Chung Ching Seria, Dr. Ang Sik Liong serta tenaga pengajar sekolah berkenaan. Lebih 90 orang pelajar Tahun 7 sekolah tersebut telah menghadiri majlis berkenaan di mana mereka turut berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan yang di-kendalikan oleh Jabatan Penerangan.

Majlis turut dimuatkan dengan tayangan klip video ‘Kibarkanlah dengan Megah Bendera Negara’, ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan animasi Tatacara Menaikkan Bendera Negara serta klip video aplikasi mudah alih ‘InfoDeptBN’.
Mengakhiri acara majlis ialah penyampaian hadiah kepada para pelajar yang berjaya menjawab Kuiz Kenegaraan.
Program juga diadakan bagi mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri para pelajar melalui lagu kebangsaan dan bendera Negara.