(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Dam ialah tebusan atau denda yang dikenakan ke atas orang yang mengerjakan ibadah haji atau ibadah umrah disebabkan perkara-perkara tertentu.
Dalam ibadah haji dan umrah, jenis-jenis dam terbahagi kepada empat iaitu; dam tertib dan taqdir, dam tertib dan ta‘dil, dam takhyir dan ta‘dil dan dam takhyir dan taqdir.
Berikut dijelaskan dam-dam yang dimaksudkan iaitu:
1. Dam tertib dan taqdir ialah dam antaranya bagi orang yang melakukan haji Tamattu‘ dan haji Qiran, meninggalkan ihram di miqat, tidak melontar jamrah, tidak bermalam di Muzdalifah, tidak bermalam di Mina dan tidak melakukan tawaf Wada‘.

Damnya ialah menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu wajib berpuasa sepuluh hari, tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah pulang ke tanah air.
2. Dam tertib dan ta‘dil ialah dam bagi kesalahan melakukan jima‘ yang merosakkan haji atau umrah dan disebabkan ihshar (iaitu orang yang berniat ihram ditegah daripada menyempurnakan ibadah haji atau umrah dari semua jalan).
Dam bagi kesalahan melakukan jima‘ ialah menyembelih seekor unta. Jika tidak mampu, hendaklah menyembelih seekor lembu. Jika tidak mampu, hendaklah menyembelih tujuh ekor kambing.
Jika tidak mampu juga, hendaklah mengeluarkan sedekah berupa makanan mengikut nilai harga seekor unta.
Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor unta, iaitu bagi setiap satu cupak hendaklah berpuasa satu hari.
Dam ihshar pula ditunaikan dengan menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu, digantikan dengan memberikan makanan mengikut nilai harga kambing tersebut.
Jika tidak mampu juga, maka digantikan dengan berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai harga seekor kambing iaitu bagi setiap satu cupak hendaklah berpuasa satu hari.
3. Dam takhyir dan ta‘dil ialah dam bagi kesalahan memburu binatang dan kesalahan mencabut tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram.
Dam bagi memburu binatang ialah menyembelih binatang mengikut bandingan binatang yang sebanding dengan binatang yang diburu itu.
Jika seseorang membunuh burung unta damnya ialah menyembelih seekor unta, jika dia membunuh keldai liar atau lembu damnya ialah menyembelih seekor lembu, jika dia membunuh serigala damnya ialah menyembelih seekor kambing kibasy, jika dia membunuh seekor rusa damnya ialah menyembelih seekor kambing, jika dia membunuh seekor arnab damnya ialah menyembelih seekor anak kambing betina, jika dia membunuh seekor biawak damnya ialah menyembelih seekor anak kambing.
Bersambung