MILAN, 25 Sept- Danilo D’Ambrosio menjaringkan gol lewat bagi membantu Inter Milan menang 1-0 ke atas Genoa dalam aksi Serie A semalam, sekali gus kekal menyaingi pasukan-pasukan pendahulu, sementara AC Milan tersungkur 2-0 di Sampdoria.
D’Ambrosio menanduk masuk satu sepakan sudut dengan perlawanan berbaki dua minit di San Siro, bagi memastikan tiga mata bagi pasukan Luciano Spalletti, yang permulaan sempurna mereka ditamatkan minggu lalu selepas seri 1-1 di Bologna.
Adel Taarabt dan Stephane Omeonga diarahkan keluar padang bagi Genoa dalam masa kecederaan, memburukkan lagi nasib kelab setelah kekal tanpa kemenangan dalam enam perlawanan pembukaan.
Inter kekal di tangga ketiga, dua mata di belakang pendahulu, Juventus dan Napoli, yang mana kedua-dua pasukan memenangi kesemua enam perlawanan awal musim ini.
Ciro Immobile menjaringkan dua gol, termasuk satu gol penalti, bagi menjadikan jumlah golnya kepada lapan gol dalam Serie A musim ini, sekali gus mengekalkan Lazio di tangga keempat dengan kemenangan selesa 3-0 di Verona.


Jurulatih Lazio Simone Inzaghi gembira bahawa pasukannya tahu bagaimana untuk memberikan respons secara positif selepas kekalahan 4-1 kepada Napoli pertengahan minggu lepas.
Pesaing bandar, Roma, yang mempunyai kelebihan satu perlawanan, berada di tangga kelima, selepas mudah menewaskan Udinese 3-1 hujung minggu lalu.
Sementara itu, Duvan Zapata dan Ricky Alvarez masing-masing satu menjaringkan gol untuk menewaskan kelab berbelanja besar, AC Milan bagi kekalahan kedua mereak musim ini.
Milan yang dimiliki pelabur dari China, yang telah membelanjakan hampir 200 juta euro dalam musim panas, kekal di tangga keenam selepas enam perlawanan. Sementara Samporia, yang mempunyai kelebihan satu perlawanan, melonjak ke tangga ketujuh, hanya satu di belakang.
“Kami perlu mencari jawapan kenapa beberapa perkara tidak berhasil, saya melihat terlalu banyak persembahan hambar,” kata jurulatih Milan, Vincenzo Montella. – AFP