Damok bermotivasi tinggi menuju CEV Moto3 di Valencia

KUALA LUMPUR, 19 NOV – Pelumba Malaysia, Syarifudin Azman kekal bermotivasi tinggi menuju ke pusingan terakhir CEV Moto3 pada hujung minggu ini di Litar Ricardo Tormo, Valencia di Sepanyol.

Walaupun agak kecewa dengan tunggangannya ketika sesi latihan bebas semalam selepas hampir sebulan berehat, pelumba yang lebih dikenali sebagai Damok itu yakin untuk terus bekerja keras bagi meningkatkan prestasinya, menjelang dua perlumbaan pada Ahad ini.

“Saya agak kecewa dengan latihan saya, namun saya akan terus kekal motivasi dan fokus untuk latihan seterusnya dan cari jalan untuk lebih baik bagi latihan hari ini,” katanya menerusi sebuah video kepada media.

Pelumba pasukan SIC Racing itu menduduki tempat ke-14 dengan 44 mata selepas 10 perlumbaan setakat ini, termasuk kejayaan muncul juara di Litar Catalunya pada April lalu.

Damok sebelum ini dikaitkan dengan ‘promosi’ ke Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim depan, tetapi namanya tidak berada dalam senarai pelumba bagi musim 2022 yang dikeluarkan oleh penganjur.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Malaysia, Adam Norrodin yang beraksi di kategori Moto2 kejuaraan tersebut, gembira kerana dapat mencapai keputusan yang diharapkan pada sesi latihan dengan sasaran untuk meraih podium pada Ahad.

Pusingan kelayakan dijadualkan berlangsung pada esok, diikuti perlumbaan pada Ahad. – Bernama