ROM, 6 JULAI – Diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama selepas Christian Eriksen rebah kerana serangan jantung yang hampir membawa maut di atas padang, Mikkel Damsgaard muncul memikul watak penting membantu kemaraan Denmark pada kempen Euro kali ini yang pada mulanya dilihat bakal tersingkir awal.
Digelar sebagai ‘Damsinho’, Damsgaard berjaya mencuri tumpuan ramai dan dijangka akan sekali lagi menjadi watak penting bertemu England pada perlawanan separuh akhir di Wembley Khamis ini.
“Saya tidak pernah mengimpikan hadiah hari lahir yang sangat istimewa. Sangat teruja beraksi di Wembley,” kata pemain sayap Sampdoria itu kepada media Denmark, BT selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech Ahad lalu yang juga ulang tahun kelahirannya ke-21.
“Ia adalah sesuatu yang menakjubkan berada di sini selepas apa yang berlaku.”
Dipilih oleh Kasper Hjulmand untuk mengukuhkan jentera serangan sejak ketiadaan Eriksen, Damsgaard sudah bekerjasama dengan jurulatih Denmark itu sejak membuat penampilan profesional pertama di Nordsjaelland pada 2017.

“Dia seorang pemain yang hebat. Dia membuktikannya dan dapat menyahut cabaran pada kempen Euro,” kata Hjulmand kepada media Denmark.
Jaringan pembukaannya ketika melakar kemenangan 4-1 ke atas Rusia pada saingan peringkat kumpulan menyaksikan kemunculan pemain termuda Denmark meledak gol di Kejohanan Eropah.
Denmark mara ke pusingan kedua selepas muncul naib juara Kumpulan B di sebalik kekalahan dua perlawanan pertama dan Damsgaard kemudian mempamer aksi cemerlang sekali lagi ketika membelasah Wales 4-0 pada pusingan kedua.
Seperti pemain tengah Inter Milan itu, Damsgaard secara teknikal mahir, kuat dengan kedua kaki dan memiliki penglihatan yang hebat.
“Saya telah diilhamkan Eriksen, 100 peratus.
“Dia adalah salah satu pemain yang paling banyak saya saksikan. Saya benar-benar mengidolakannya ketika saya masih muda dan bermain seperti nombor 10, sama sepertinya,” jelasnya. – AFP