Monday, March 10, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Damsyik sambut baik keputusan OIC pulihkan keahlian Syria

    ISTANBUL, 9 MAC – Syria kelmarin menyambut baik keputusan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memulihkan keanggotaan negara itu selepas kejatuhan rejim Presiden Bashar al-Assad, lapor agensi Anadolu (AA).

    “Keputusan ini merupakan langkah penting ke arah kembalinya Syria ke dalam masyarakat serantau dan antarabangsa sebagai sebuah negara yang bebas dan adil,” menurut kenyataan Kementerian Luar Syria.

    Kenyataan itu menegaskan komitmen Syria terhadap ‘prinsip-prinsip OIC, termasuk kerjasama, keadilan, dan martabat.’

    Kementerian berkenaan turut menyatakan kesediaannya untuk ‘bekerjasama rapat dengan saudara kita di dunia Islam untuk membina semula Syria dan mengukuhkan rantau kita berdasarkan nilai bersama kita iaitu keadilan, keamanan, dan kerjasama.’

    Selain itu, Syria menekankan aspirasinya untuk ‘membina masa depan iaitu rakyat Syria mendapatkan semula tempat yang sepatutnya di kalangan negara, menyumbang kepada dunia Islam yang lebih kukuh dan bersatu.’

    Menteri Luar Sementara Syria, Asaad al-Shibani semasa menghadiri Sesi Luar Biasa Majlis Menteri Luar Negara Anggota OIC di Jeddah pada 7 Mac. – AFP

    Pada Jumaat lalu, Syria berjaya memulihkan keanggotaannya dalam OIC selepas digantung selama 13 tahun.

    Menurut sumber diplomatik, inisiatif Turkiye semasa sesi tergempar Majlis Menteri Luar OIC di Jeddah membuka jalan bagi kepulangan Damsyik ke OIC.

    Pada 24 Jun 2012, pada mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif OIC peringkat menteri yang diadakan di Jeddah membincangkan situasi di Syria dan mengeluarkan cadangan untuk menggantung keanggotaan Syria dalam OIC pada waktu keganasan rejim Assad terhadap rakyatnya semakin meningkat.

    Seterusnya, pada Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC ke-4 yang diadakan di Makkah pada 14 hingga 15 Ogos 2012, keanggotaan Syria dalam OIC digantung.

    Assad, pemimpin Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada 8 Disember, menamatkan rejim Parti Baath yang telah memerintah sejak 1963. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda