Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dana pelaburan Filipina AS$8.9 bilion diluluskan

    MANILA, 31 MEI – Penggubal undang-undang Filipina hari ini meluluskan penubuhan dana pelaburan negara bernilai AS$8.9 bilion untuk meningkatkan pertumbuhan dan mengurangkan kemiskinan, namun para pengkritik berkata ia adalah ‘penipuan’ dan harus dibatalkan.

    Presiden Ferdinand Marcos Jr menggesa agar rang undang-undang itu diluluskan segera, difailkan oleh anak lelakinya dan sepupunya hujung tahun lalu, untuk membolehkan kerajaan yang menanggung hutang itu meraih dana tambahan untuk membiayai projek-projek infrastruktur.

    Kerajaan negara akan menjadi penyumbang terbesar bagi ‘Dana Pelaburan Maharlika’ bernilai 500 bilion peso, dapat mengambil dana awal dari bank pusat, pendapatan perjudian, dan dua bank milik kerajaan.

    Institusi kewangan swasta dan korporat juga dibenarkan untuk melabur.

    Pemangku speaker Dewan Rakyat, Aurelio Gonzalez mengisytiharkan rang undang-undang versi Senat yang diluluskan semasa sidang tersebut. Ia akan dihantar kepada Marcos untuk ditandatangani sebagai undang-undang.

    Cadangan asal adalah untuk dana bernilai AS$4.9 bilion yang sebahagiannya akan dibiayai oleh pencen yang dikendalikan kerajaan untuk pekerja sektor kerajaan dan swasta, mencetuskan kebimbangan orang ramai bahawa simpanan persaraan boleh dalam keadaan berisiko.

    Versi akhir rang undang-undang itu menyatakan bahawa dana pencen tidak akan memberikan sumbangan.

    “Saya memberi jaminan orang ramai tidak perlu risau. Semuanya yang dilakukan adalah dijamin selamat,” kata Presiden Senat, Miguel Zubiri kepada wartawan.

    Senator Mark Villar, penulis utama rang undang-undang Senat, berkata bahawa dana itu ditubuhkan untuk mencipta projek pembangunan, yang akan mendatangkan pertumbuhan kukuh, lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan. – AFP

    Gambar menunjukkan sesi pleno di Senat, di Manila pada 31 Mei. Penggubal undang-undang meluluskan penubuhan dana pelaburan Filipina bernilai AS$8.9 bilion untuk meningkatkan pertumbuhan dan mengurangkan kemiskinan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda