ATHENS, 3 SEPT – Pihak berkuasa Greece menganggarkan bahawa kira-kira €23 juta subsidi pertanian EU telah disalurkan kepada penerima yang tidak sah, kata seorang menteri kerajaan, kelmarin.
Kesatuan Eropah (EU) kini sedang menyiasat dakwaan rasuah besar-besaran yang menyasarkan subsidi pertanian kepada Greece, selepas tuduhan, bantuan itu dibayar secara haram kepada penerima yang tidak layak.
Pihak berkuasa Greece, yang melancarkan siasatan mereka sendiri selepas skandal itu tercetus, meneliti 6,354 penerima bantuan, di mana 1,036 daripada mereka didapati menerima bayaran haram berjumlah €23 juta, kata Menteri Perlindungan Warganegara, Michalis Chrisochoidis.
Hasil dapatan itu telah dirujuk ke mahkamah, yang kini boleh membenarkan ‘penyitaan aset daripada mereka yang menerima subsidi secara salah,’ katanya.
Skim penipuan itu kebanyakannya melibatkan pengisytiharan palsu mengenai tanah pertanian atau ternakan, kata menteri berkenaan.
Hasil dapatan itu diperoleh selepas penyiasat EU menyerbu pejabat agensi kerajaan Greece yang mengendalikan pembayaran, OPEKEPE, di Athens.
Siasatan EU menunjukkan berlaku salah guna dana secara meluas di OPEKEPE yang kini telah ditutup, yang menurut kerajaan setiap tahun menyalurkan lebih €3 bilion, kebanyakannya dalam bentuk subsidi kepada 680,000 petani.
Tempoh yang disiasat kebanyakannya melibatkan pentadbiran semasa Perdana Menteri konservatif Kyriakos Mitsotakis, yang berkuasa sejak Julai 2019.
Namun, pihak kerajaan mendakwa penipuan itu telah berlarutan selama beberapa dekad dan kes tersebut telah membawa kepada peletakan jawatan seorang menteri kabinet serta beberapa pegawai kanan lain. – AFP

