Thursday, January 9, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dana SDC, Rotary meterai perjanjian

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Dana Modal Pembangunan Strategik (Dana SDC), Bahagian Pelaburan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Syarikat Rotary Engineering Pte Ltd (Rotary) iaitu sebuah syarikjat yang beribu pejabat di Republik Singapura, dalam majlis penandatanganan perjanjian yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

    Penandatanganan perjanjian berkenaan adalah bagi penubuhan sebuah syarikat usaha sama yang akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, kejuruteraan, perolehan dan pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di Negara Brunei Darussalam.

    Hadir menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Turut hadir ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Metussin, Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Norhashimah binti Haji Mohammed Taib, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai Rotary serta jemputan khas.

    Perjanjian usaha sama bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah ditandatangani oleh Ketua Bahagian Pelaburan, Bahagian Pelaburan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Ahmad Fathi bin Dato Paduka Haji Junaidi manakala Pengerusi Rotary, Roger Chia Kim Piow menandatangani bagi pihak Rotary.

    Awang Ahmad Fathi (kiri) dan Roger Chia (kanan) menandatangani perjanjian usaha sama dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Antara yang turut menghadiri majlis penandatanganan perjanjian usaha sama yang berlangsung di The Empire Brunei. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Syarikat usaha sama yang diberi nama Brunei Rotary Engineering Sdn Bhd (BRE) akan menawarkan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat di Negara Brunei Darussalam terutama dalam sektor minyak dan gas yang bertujuan untuk mengurangkan kos operasi syarikat-syarikat berkenaan dan seterusnya akan mengembangkan perkhidmatannya ke negara-negara di sekitar wilayah Borneo.

    Penubuhan BRE menekankan komitmen berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam memupuk bakat tempatan. Kerjasama itu turut menawarkan kurikulum teknikal dan peluang latihan yang berkaitan termasuk penempatan ke projek-projek di luar negara bagi meningkatkan tahap kemahiran dalam kalangan anak-anak tempatan.

    Rotary ditubuhkan pada 1972 sebagai sebuah kontraktor elektrik dan instrumentasi. Ia seterusnya berkembang menjadi sebuah syarikat yang turut terlibat dalam pembangunan Pulau Jurong di Republik Singapura sebagai sebuah hab minyak dan gas global yang memberi perkhidmatan kepada syarikat-syarikat minyak dan gas antarabangsa yang terkemuka.

    Rotary kini antara syarikat perkhidmatan minyak dan gas terbesar yang turut memberi perkhidmatan kepada industri farmaseutikal. Dengan tenaga kerja global lebih daripada 6,000 orang, Rotary beroperasi di 16 buah negara dan berjaya menyampaikan projek-projek pada piawaian antarabangsa tertinggi di seluruh wilayah Asia Pasifik dan Timur Tengah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda