Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Raika Jaya Enterprise telah menyerahkan sumbangan berjumlah $2,100 hasil daripada jualan amal siri pertama pada Ramadan lalu kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim (DANA).
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengarah Raika Jaya Enterprise, Pengiran Haji Raimi bin Pengiran Haji Samli kepada Pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Awang Samsudin bin Haji Puasa di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Kumbang Pasang, Jumaat lalu.
Menurut kenyataan syarikat tersebut, promosi jualan amal siri kedua akan diadakan pada 1 hingga 30 Oktober ini dengan sasaran untuk mengumpul $3,000 untuk disumbangkan kepada tabung DANA pada November depan, bagi membantu meringankan bebanan anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.