Monday, March 31, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    DANA terima sumbangan berjumlah $20,000

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) telah menerima sumbangan keseluruhan berjumlah $20,000.00 daripada Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dalam Majlis Penerimaan Sumbangan Bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim.

    Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China Ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo dan diterima oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA dalam majlis yang berlangsung di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Jerambak hari ini.

    Terdahulu dalam majlis berkenaan, TYT Xiao Jianguo dalam ucapan alu-aluannya menyatakan harapan sumbangan yang dihulurkan kepada DANA akan dapat membantu lebih ramai anak-anak yatim di Brunei serta membawa harapan dan berkat kepada mereka.

    Mengulas mengenai hubungan antara Brunei dan China, TYT Xiao Jianguo menyatakan hubungan di antara kedua-dua buah negara berkenaan terus berkembang dengan baik serta menyatakan harapan untuk terus bekerjasama dengan rakan-rakan di Brunei untuk memajukan komuniti kedua-dua buah negara dengan masa depan bersama untuk berkembang dengan lebih kukuh.

    DANA sangat menghargai sokongan dan derma daripada para dermawan bagi sama-sama membantu dalam usahanya untuk mempertingkatkan kesejahteraan hidup anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.

    Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah sekretariat bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA).

    TYT Xiao Jianguo dan Dr Nor Imtihan semasa menghadiri majlis penerimaan sumbangan berkenaan.
    TYT Xiao Jianguo menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis berkenaan.
    TYT Xiao Jianguo menyampaikan sumbangan berkenaan kepada DANA yang diterima oleh Dr Nor Imtihan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda