NEW YORK, 6 MAC – Kumpulan TKO, syarikat yang sudah memiliki WWE dan UFC, bersedia untuk memasuki gelanggang dengan promosi tinju baharu sebagai sebahagian daripada perjanjian perniagaan dengan Arab Saudi.
TKO mengumumkan kelmarin bahawa ia telah memeterai perkongsian beberapa tahun dengan Turki Alalshikh, pengerusi Pihak Berkuasa Hiburan Umum Arab Saudi, dan Sela, anak syarikat Dana Pelaburan Awam Arab Saudi.
Diketuai oleh Presiden dan CEO UFC, Dana White dan Presiden WWE serta ahli lembaga pengarah TKO, Nick Khan, TKO akan berfungsi sebagai rakan kongsi pengurusan dan mengendalikan operasi harian promosi tersebut.
“Semua orang akan kata ini kerana wang. Saya tidak buat apa-apa kerana wang,” kata White kepada The Associated Press kelmarin. “Saya mahu menjalankan perniagaan dengan orang yang sehaluan dengan saya. Kami ada idea yang sama, kami ada nilai yang sama. Kami ada segala-galanya yang sama.”
TKO tidak mengumumkan nama untuk promosi baharu itu.
Petinju akan mempunyai akses ke UFC Performance Institute, dengan lokasi di Las Vegas, Mexico City dan Shanghai.
TKO akan mengendalikan produksi, media dan promosi untuk acara yang akan meliputi siaran di seluruh dunia.
White membuat keputusan dalam UFC, dan walaupun dengan gabungan bersama Khan dan Arab Saudi, bekas petinju berusia 55 tahun itu berkata dia tetap akan menjadi bos utama dalam usaha ini. Tiada butiran lanjut diumumkan selain pelancaran promosi.
Usaha sama itu adalah yang terbaharu dalam perbelanjaan besar-besaran Arab Saudi dalam sukan global dipelopori oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman. – AP
