Wednesday, March 26, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Danantara lantik bekas PM Thailand dan bilionair AS sebagai penasihat

    JAKARTA, 24 MAC – Dana kekayaan berdaulat baharu Indonesia melantik bilionair Amerika Syarikat, Ray Dalio dan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, ke dalam lembaga penasihatnya pada Selasa, seminggu selepas negara itu mengalami kejatuhan pasaran terburuk dalam lebih sedekad.

    Danantara Indonesia dilancarkan pada Februari oleh Presiden Prabowo Subianto, yang berikrar untuk meningkatkan pertumbuhan tahunan negara daripada lima kepada lapan peratus, sambil mengarahkan pemotongan perbelanjaan kerajaan berbilion dolar.

    Seramai 22 tokoh terkenal telah menyertai Danantara, termasuk dua bekas presiden Indonesia, Joko Widodo dan Susilo Bambang Yudhoyono.

    “Mempunyai nama-nama besar dalam kepimpinan akan memberikan isyarat positif kepada ekonomi Indonesia dan membawa manfaat kepada semua rakyat,” kata Ketua Danantara Indonesia, Rosan Roeslani.

    “Mereka adalah individu yang terlibat dalam pasaran dan mempunyai rekod prestasi yang baik,” tambahnya.

    Dana tersebut, yang diilhamkan daripada syarikat pelaburan Singapura, Temasek, dijangka menjadi yang terbesar dalam ekonomi terbesar di Asia Tenggara.

    Ia akan mengambil alih pegangan kerajaan dengan bajet permulaan sebanyak AS$20 bilion, yang akan dilaburkan ke dalam 20 projek mega, menurut media negara.

    Namun, pelancarannya mengundang kritikan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat serta pakar yang mempersoalkan ketelusan badan tersebut.

    Sejak mengambil alih kuasa pada Oktober, Prabowo telah mengeluarkan beberapa dasar kontroversi, termasuk program makanan percuma dan pemotongan perbelanjaan kerajaan secara besar-besaran, yang mencetuskan protes pelajar di seluruh negara pada awal tahun ini. – AFP

    Thaksin Shinawatra merupakan salah seorang tokoh yang dilantik oleh Danantara Indonesia ke dalam lembaga penasihat. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda