Oleh Nurdiyanah R. –
Dalam kita menikmati kesenangan dan kemewahan, masih ramai golongan yang kurang bernasib baik dalam memenuhi keperluan kehidupan sehari-hari.
Kerana dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Bahkan, tidak miskin bagi sesiapa yang bersedekah kerana ganjaran pahala amat besar di sisi Allah SWT jika amalan tersebut dilakukan dengan ikhlas.
Jika kita tidak mampu, maka bantulah sekadar yang termampu. Jika tidak punya wang, boleh disalurkan dari sudut tenaga. Jika tidak punya masa, boleh kirimkan doa sebagai senjata. Setiap yang kita lakukan mampu memberi impak besar kepada insan-insan yang memerlukan. Walau ia tidak dapat membantu sepenuhnya namun sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban yang digalas di bahu dan hati mereka.
Begitulah luahan enam orang mahasiswi Tahun 3 Semester 2, Akademi Pengajian Brunei (APB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) kepada penulis ketika berkongsi keindahan dalam melaksanakan aktiviti jualan amal dengan kerjasama Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong dan Badan Perhubungan dan Kesejahteraan Mahasiswa/i Akademi Pengajian Brunei (BPKMAPB) di karnival mini Sung Dai Sabi Ga Pusat Belia Tutong di Pusat Belia Daerah Tutong, baru-baru ini.
Enam mahasiswi di bawah Kumpulan Dang Anam itu terdiri daripada Dayang Nurul Hafizah binti Sani, Dayang Siti Noorul Ainul Hayati binti Mohammad Jufri, Dayang Nuur Firzanah Insyiraah binti Roslan, Dayang Siti Nur Aliah binti Haji Lamat, Dayang Yasmin Diana binti Haji Sulaiman dan Dayang Nur Khairunnisa binti Adanan.
PUPUK NILAI MURNI DARI JUALAN AMAL
Dayang Nurul Hafizah selaku ketua kumpulan berkenaan, menjelaskan adapun aktiviti jualan amal itu merupakan sebuah projek berkumpulan di bawah modul PB-4301 Projek Komuniti di APB yang lebih mengetengahkan jualan produk makanan dan minuman serta barangan pakaian terpakai sepanjang acara berlangsung.
“Jualan amal ini adalah untuk mengisi masa terluang ahli-ahli yang terlibat dalam projek komuniti ini dengan perkara yang berfaedah di samping menerapkan nilai-nilai murni dalam diri masing-masing iaitu sikap saling tolong-menolong, berdikari, bertanggungjawab dan mempunyai pemikiran yang jauh ke hadapan.
“Melalui jualan amal ini juga dapat memupuk semangat berkumpulan dalam menjayakan projek jualan amal dengan niat yang ikhlas ingin membantu warga yang kurang berkemampuan sekali gus mempelajari dan melatih diri terutamanya dalam bidang keusahawanan,” ujarnya.
Dalam menyemarakkan lagi keseronokan jualan amal di karnival mini berkenaan, pelbagai aktiviti permainan yang diberi nama Pleasure Ground turut disediakan untuk para pengunjung, antaranya XOXO, toss dice, congkak, mewarna, 5 Little Ducks, pingpong, ikan dalam kolam, shooting canes dan baling bola dengan bantuan beberapa ahli BPKMAPB.
BERSAMA SEMAI AMALAN BERSEDEKAH
Dalam pada itu, bagi menggalakkan orang ramai untuk sama-sama menyemai amalan bersedekah, Dayang Nurul Hafizah turut mengongsikan bahawa kumpulan beliau turut mengadakan kempen sumbangan sekitar penghujung bulan September lalu di mana mereka membukakan sumbangan berbentuk makanan asasi atau makanan kering dan pakaian terpakai.
“Sumbangan pakaian terpakai yang diperoleh kini sedang giat dijual dalam talian melalui platform media sosial seperti Instagram dan juga siaran langsung di aplikasi TikTok.
Manakala hasil jualan tersebut akan disumbangkan sama ada dalam bentuk wang ataupun barang keperluan tertakluk kepada keadaan. Tidak lupa juga, makanan asasi atau makanan kering akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan serta barangan terpakai juga akan disedekahkan,” kongsinya.
Di samping itu, dalam usaha meningkatkan sambutan orang ramai menerusi projek ini, Kumpulan Dang Anam juga merancang untuk mengadakan siaran langsung di aplikasi TikTok dan menggunakan Bilik Isolasi, G.15, di Bangunan APB sebagai tempat untuk menjual pakaian terpakai dan juga makanan serta minuman.
“Hasil jualan amal, kempen sumbangan dan pendapatan daripada jualan secara dalam talian serta jualan di Bilik Isolasi itu nanti akan dikumpulkan dan diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan khususnya di Daerah Tutong dengan bantuan Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong,” jelas Dayang Nurul Hafizah lanjut.
JADILAH GOLONGAN BELIA BERDIKARI
Dalam kesempatan ini, Dayang Nurul Hafizah menjelaskan projek amal yang dilaksanakan itu juga sebagai salah satu usaha untuk membuka golongan belia tanah air agar tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada kerajaan malahan mereka digalakkan untuk menceburi bidang keusahawanan seiring arus perkembangan semasa iaitu memanfaatkan platform media sosial dengan sebaik-baiknya.
“Projek komuniti ini bukan sahaja mampu mengukir senyuman dan memberikan harapan kepada individu yang kurang berkemampuan, tetapi ahli-ahli kumpulan ini juga akan mendapat pahala melalui sumbangan sedekah. Ianya merupakan salah satu sifat takwa dan amalan yang mulia di sisi agama dan amalan ini sangat digalakkan di dalam Islam kerana menolong orang yang susah itu akan mendapat ganjaran pahala serta segala urusan akan dipermudahkan di dunia mahupun akhirat kelak,” ucapnya semasa mengakhiri pertemuan bersama Media Permata, baru-baru ini.