Pelawak Danial Zaini meluahkan rasa kurang senang terhadap perkembangan dunia stand-up komedi Malaysia, terutamanya melibatkan pelapis baharu dan ‘indie’ yang menurutnya sengaja membangkitkan isu sensitif semata-mata untuk meraih gelak ketawa penonton.
Berkongsi pengalamannya menghadiri beberapa sesi open mic, Danial atau Mohamad Danial Mohd Zaini, 32, berkata, sebahagian besar golongan ini masih kurang dari segi isi dan konteks dalam lawak yang dipersembahkan.
Malah kata Danial, ada antara mereka yang menggunakan bahan kandungan berunsur lucah atau menyentuh isu-isu agama semata-mata untuk mencipta impak dan menjadi ‘viral’.
“Bila saya turun tengok open mic stand-up, terutamanya yang baru atau indie, saya nampak konteks komedi mereka sangat sempit. Mereka rasa kalau tak boleh sentuh isu 3R (agama, kaum, raja), lawak jadi tak kelakar.
“Kalau tengok benda viral dulu, banyak yang datang dari stand-up komedi. Ada yang buka baju atas pentas kelab, ada juga yang bercerita fasal agama.
“Tapi persoalannya, kalau tak buat komedi macam tu, tak boleh buat orang gelak ke?” katanya kepada mStar.
Untuk rekod, pada tahun 2022, seorang pelawak wanita mencetuskan kontroversi apabila bertindak menghina agama Islam, melepaskan hijab serta pakaiannya sehingga mendedahkan aurat di hadapan penonton.
Menurut Danial, dia juga pernah menyaksikan satu sesi open mic yang disertai 12 peserta, dan hampir kesemuanya tampil dengan lawak berunsur lucah.
Danial turut menegur segelintir pelawak muda yang menurutnya tersalah anggap makna sebenar gelak penonton.
“Mereka ni tak pernah keluar televisyen (TV) pun, tapi mereka rasa mereka dah cukup hebat buat lawak.
“Saya tak nak sebut nama, tapi ada budak-budak stand-up yang rasa mereka hebat bila orang gelak. Tapi percayalah, penonton gelak sebab mereka mencarut, bukan sebab lawak tu sendiri yang kelakar,” ujarnya.
Sebagai pelawak yang berpengalaman dalam pelbagai platform termasuk televisyen, Danial menegaskan masih ada ruang untuk menghasilkan lawak yang bersih, berkualiti dan penuh mesej.
“Baru-baru ni saya pun buat open mic, dan saya bawa set lawak ‘clean’ yang sesuai untuk tontonan TV. Sekurang-kurangnya kami tahu guideline macam mana nak bagi lawak pada penonton. Tak semestinya nak buat lawak dark sahaja baru dianggap kelakar,” jelasnya. – Agensi


